Cerita untuk Masa Depan

Facebook
WhatsApp

SEPANJANG aku menjadi penulis, keobsesan aku terhadap cerita yang aku tulis melebihi segala-galanya. Kadang-kadang, sampai tahap sukar untuk membezakan yang mana realiti dan yang mana fantasi.

Di setiap kerasnya menghadapi kehidupan yang penuh ranjau, aku mencipta imaginasi sebagai simbol kebebasan, membayangkan perkara yang indah untuk ditumpahkan dalam sebuah pengkisahan. Sehingga pada suatu hari, aku dipertemukan dengan seorang perempuan yang mungkin bakal mengubah masa depanku.

Aku masih ingat lagi, kami bertemu secara bersemuka pada suatu petang di Tasik Pustaka Cawangan Kuching, iaitu setelah aku selesai melawat Pesta Buku Kuching.

Seorang perempuan datang tanpa segan-silu menyapaku sebelum memulakan bicara. Yang menghairankan, dia mengenali aku sebagai Ilham Pujangga, iaitu nama pena yang aku gunakan dalam setiap karya. Sedangkan, kewujudan aku sebagai seorang penulis sangatlah misteri kerana tidak pernah menonjolkan diri di khalayak ramai.

Aku cuba perhatikan wajah mulus perempuan itu. Mukanya yang membujur dengan mata yang redup itu mampu menawan hati mana-mana jejaka.

Rambut yang kelihatan licin paras bahu, saiz badan yang nampak kecil dan wangian lavender yang ditiup angin menampar muka aku sehingga timbul rasa kagum terhadap perempuan itu. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Maya. Nama yang sama seperti watak dalam novel yang sedang aku tulis.

Sejak dari itu, kami berkenalan dan berkongsi cerita. Aku memberanikan diri mengajak dia keluar bersama sambil bertukar cerita. Perkara pertama yang aku lakukan adalah mengajak Maya melihat matahari terbenam di Jambatan Darul Hana sambil berjalan di sekitar Dataran Ibu Pertiwi – lokasi yang menjadi ikon Bandar raya Kuching.

***

Aku membiarkan Maya berjalan beberapa langkah ke depan. Tanpa menoleh ke belakang, dia berdiri di tengah-tengah laluan pejalan kaki. Tiang bendera Sarawak setinggi 99 meter berdiri gah di hadapan.

Kebetulan, orang tidaklah terlalu ramai lalu-lalang di kawasan ini memandangkan hari ini adalah hari Selasa. Kesempatan itu, Aku gunakan dengan menangkap gambar Maya yang terpesona mendongak bendera yang berkibar girang di atasnya.

Maya yang baru menyedari perbuatanku menoleh ke belakang bersama senyuman yang tak pernah pudar di wajah. “Mari kita ke sana,” pintanya sebelum berjalan membelakangiku. Menapak ke arah Fort Margherita yang tidak jauh di belakang kami.

Di hadapan seni bina British berbentuk segi empat berwarna putih itu, Maya berdiri dengan mata yang penuh takjub. Seolah-olah roh dan jiwa dia sedang ditarik oleh angin masa lalu. Kesempatan itu aku gunakan dengan mengambil gambarnya dari pelbagai sudut.

“Dulu, kubu ini bukan sahaja menjadi tempat perlindungan. Kubu ini juga adalah saksi cinta agung Charles Brooke kepada isterinya, Margaret Alice.” Maya membuka bicara setelah diserap oleh magis kubu ini selama beberapa detik.

Aku berhenti mengambil gambar Maya, lalu menapak ke sebelahnya untuk mendengar lebih banyak pengetahuan Maya terhadap bangunan bersejarah ini.

“Sejarah takkan pernah padam selagi Sungai Sarawak bersemangat mengalirkan auranya. Tempat ini bukan sahaja menyimpan sejarah, tetapi membawa bersama memori yang kadang-kala bersifat selektif.”

Maya mula bercerita seperti seorang penglipur lara yang tekun menyampaikan kisah demi kisah bagi memberi tauladan kepada penonton.

Ada keasyikan yang memeriahkan jiwa bagai orang yang dilamun cinta; tidak sedar dirinya ghairah bercerita hal-hal baik semusim kebahagiaan dalam sebuah perhubungan.

Perlahan-lahan, nada suaranya berubah menjadi sebak dan semakin sebak. Ada ritma kesedihan, keresahan, penyesalan dan kekecewaan bergaul mengubah klimaks penceritaannya.

Dari nadanya bercerita, aku mentafsirkan rasa itu bersatu membentuk sebuah memori manis yang bertukar pahit. Tak. Bukan pahit. Mungkin… tragis.

“Beratus tahun sudah berlalu. Zaman berubah seiring Bandar Raya Kuching yang pesat membangun. Namun, masih ada satu perkara yang tidak pernah padam dalam ingatan saya, sekalipun berjuta kali saya cuba menyingkirkan perkara itu,” bicaranya jeda seketika sebelum berkalih ke dalam mataku. “Rasa rindu yang tak sempat dilunaskan.”

Terbit rasa bersalah kerana membuatkan Maya terkenang pada masa lampau yang mungkin mengesankan emosinya. Adakah aku telah memaksa Maya untuk menelan semula kepahitan yang dia pernah rasa?

Atau aku sendiri sudah lupa bahawa aku sedang menulis sebuah novel dengan watak utamanya adalah Maya? Atau sebenarnya Maya adalah manifestasi masa silam yang ingin aku buang sejauh mungkin dari ingatan? 

Atau aku sebenarnya mereka-reka momen ini dan menyeksa watak dengan segala kenangan yang merengsakan? Bukankah sudah menjadi tanggungjawab penulis untuk menentukan takdir setiap watak dalam kepalanya?

Kalau benar semua ini sekadar bingkisan imaginasi, kenapa kewujudan Maya bersama segala muntahan emosinya kelihatan benar dan bernyawa?

“Sejarah adalah rakaman memori silam yang mengajar kita menjadi lebih kuat sekaligus mendewasakan.” Maya tuntaskan cerita dia dengan kata-kata yang menikam sukmaku. Ada sesuatu yang bersembunyi jauh di lubuk hati, tersimpan rapi dalam tempoh begitu lama, yang aku sebagai Ilham Pujangga tidak mahu keluarkan.

“Awak mahu tahu sesuatu yang lebih besar berlaku dalam hidup saya selain kenangan pahit manis di Fort Margherita?” tanya Maya pada suatu hari, ketika kami sedang menikmati peralihan siang ke malam di Taman Botani.

“Kali ni, awak nak bawa saya ke mana pulak?”

“Ke suatu tempat yang bakal mengubah cerita untuk masa depan.” Jawapan Maya buat aku rasa terkejut. Cerita Untuk Masa Depan. Itu adalah tajuk novel yang sedang aku usahakan.

Dan Maya adalah watak utama dalam cerita itu. Justeru, aku tidak bertanya dengan lebih lanjut tentang lokasi yang dia perkatakan. Sebaiknya, aku membiarkan sahaja ke mana watak (dalam kes ini: Maya) membawa ceritanya.

***

Aku tidak pasti kenapa Maya membawa aku ke sini. Tidak ada kata-kata yang terzahir sebaik sahaja dia memarkir kereta di tepi jalan lama berhadapan dengan sebuah pokok tapang yang begitu besar dan tinggi. Jalan itu agak sunyi walaupun matahari terik memancar bumi.

Dahan pokok yang bercabang ke atas itu seolah-olah sedang melambai ke arahku. Daun-daun yang bergeser ditiup angin berbisik lembut untuk berbicara tentang satu rahsia yang terpendam begitu lama.

Satu per satu cebisan ingatan membentuk sebuah gambaran yang lengkap di masa lalu. Namun, belum sempat aku menyempurnakan satu gambar yang lengkap, jeritan hon mencuri masuk ke dalam gegendang telinga.

Aku toleh ke arah belakang. Sebuah kereta Honda Civic meluncur laju membelah jalan yang berselekoh. Sebuah lori simen kebetulan bergerak dari arah bertentangan.

Dengan sekelip mata sahaja, kereta itu hilang kawalan sehingga merempuh sisi kanan lori sebelum menghentam pokok tapang di hadapanku.

Bunyi hentakan diikuti dengan deraian kaca begitu membingitkan. Menyaksikan kemalangan ngeri di hadapan mata membuatkan aku cemas. Jantung bergerak laju dan tubuhku bergetaran.

Aku memberanikan diri mendekati kereta itu dan melihat keadaan mangsa. Alangkah terkejutnya aku apabila menyaksikan seorang lelaki berwajah sama sepertiku di kerusi pemandu. Dia memandang ke arahku meminta pertolongan.

Tidak cukup dengan itu, aku memandang kerusi sebelah pemandu. Ada seorang lagi lelaki persis wajahku tidak sedarkan diri. Kegilaan ini buat aku terundur-undur sehingga belakangku menyentuh batang pokok tapang.

Aku mencerlung tajam ke dalam kereta, di sudut belakang pula. Ada seorang wanita dan seorang lelaki yang aku yakini pasangan suami isteri juga tidak sedarkan diri.

Perlahan-lahan kepingan memori yang berkecai sebentar tadi bersatu semula, membentuk satu demi satu peristiwa yang merungkai memori hitam.

Dulu, aku pernah hidup bahagia. Ada ibu dan ayah yang saling menyokong. Ada abang kembar bernama Izham yang tak boleh berpisah dengan aku. Jiwa kami bersatu atas ikatan kembar. Apa yang dia rasa, aku boleh tahu. Dia sedih, gembira, marah, takut dan gelisah, aku dapat merasakan perkara yang sama.

Sampailah pada suatu ketika, dia jatuh hati pada seorang perempuan.

Tipu kalau aku tidak cemburu jika seseorang yang paling aku rapat kini sudah ada kekasih hati. Tetapi, sebagai seorang adik, apa saja kebahagian yang dia mahukan, aku perlu merelakannya. Dengan syarat,  tidak ada satu pun rahsia yang dia sembunyikan pada aku tentang perempuan itu.

Dengan perjanjian itulah, aku mula mengenal siapa perempuan itu melalui setiap cerita yang Izham sampaikan. Rambutnya yang hitam dan kelihatan sentiasa licin, senyum yang mempersona dan mata yang redup itu terlakar indah dalam fikiran.

Cintanya terhadap perempuan itu begitu dalam sehingga Izham memberitahu bahawa suatu hari nanti, dia akan menulis novel-novel cinta yang menampilkan watak perempuan persis kekasihnya.

Dia tanamkan cita-cita itu ke dalam fikiranku dengan menjelaskan cerita seperti apa yang dia mahu tulis untuk diabadikan sebagai lambang cinta mereka.

Bulan berganti bulan, hari berganti hari, hubungan mereka kekal berjalan tanpa pernah aku bertemu dengan perempuan itu. Namun, aku menyedari, tujuh hari sebelum tragadi hitam berlaku dalam kehidupan kami, dia sudah mula berubah.

Izham tidak sebahagia dahulu. Dia mula meminggirkan diri dengan kami sekeluarga. Dia menjadi pendiam sehingga buat ibu dan ayah risau.

Sebagai satu-satunya adik yang berkongsi jiwa dengannya, aku cuba sebaik mungkin mengembalikan Izham yang dulu.

Aku tahu hubungan dia dengan perempuan itu berantakan selama tujuh hari itu kerana aku juga boleh rasa kesedihan yang dia tanggung. Cuma, aku tidak tahu perkara yang membuatkan hubungan mereka renggang.

Ya, memulihkan perasaan kadang-kala memerlukan waktu yang lama. Jadi, aku bercadang untuk membawa keluarga bercuti ke Sri Aman sempena Pesta Benak yang akan diadakan beberapa hari sahaja lagi. Aku harap, dengan pergi ke tempat yang lebih jauh akan dapat menyembuhkan semula perasaan Izham.

Namun, tiada siapa yang menyangka, niat baikku berakhir dengan tragedi merobek jiwa. Kereta yang aku pandu tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar sebuah lori simen sebelum menghentam pokok tapang di tepi jalan. Tidak ada yang selamat di dalam kereta itu kecuali Aku.

“Arghhh!” Aku teriak sepuas-puasnya apabila digamit semula oleh tragedi yang mengubah hidupku. Aku bersandar pada pokok tapang yang menjadi saksi kejadian ngeri itu.

Pada saat itu, Maya datang menghampiri untuk menenangkan aku semula. Selepas apa yang dia buat pada aku, mengembalikan kenangan hitam dalam hidup aku, sekarang dia nak apa?

“Tergamaknya awak buat saya macam ni, Maya. Puas dah awak buat saya terbeban dengan tragedi hitam ini semula?” lontarku sayu. Airmata sudah tumpah ke pipi.

“Awak dah ingat semuanya?”

“Tujuh tahun, Maya. Tujuh tahun saya padamkan memori yang meragut kebahagiaan saya.” Mukaku yang sembab memandang ke dalam mata Maya agar dia faham keperitan yang aku cuba sembunyikan sedalam-dalamnya selama ini.

“Jalan terbaik untuk menamatkan trauma adalah dengan menghilangkan semua jejak memori walaupun terpaksa hidup dalam penafian,” sambungku mendayu-dayu.

“Saya restart balik hidup dan mencipta satu identiti baru dengan menjadi seorang penulis yang tiada siapa pun tahu identiti sebenar saya. Saya menulis untuk lupakan semua itu. Menulis sebagai simbol kebebasan! Dengan menulis, saya boleh lupakan kesedihan.”

“Dan dengan karya-karya awaklah, kita dipertemukan, Ilham,” Maya mencelah sebelum aku menghabiskan segala yang terbuku di hati.

Aku terdiam. Aku pandang wajahnya yang masih ayu walau dalam apapun situasi. Cuba mencari makna dalam kesamaran.

“Siapa awak sebenarnya, Maya? Awak bukan watak ciptaan saya, kan?”

Dia geleng. Bibirnya mengukir senyuman pahit yang menyimpan beribu rahsia. “Ingat tak cerita tentang Kubu Margherita yang menjadi simbol cinta Charles Brooke kepada isterinya, Margerat? Berinspirasikan kisah itu, saya dan Izham menanam janji, di depan Fort Margherita itu sendiri, bahawa suatu hari nanti, Izham ingin abadikan cintanya menerusi sebuah novel.”

Aku terkedu.

“Cerita-cerita yang awak tulis, itu semua adalah apa yang arwah Izham pernah canangkan pada awak. Awak menulis bukan sekadar untuk lari dari kesedihan, Ilham. Awak sebenarnya sedang merealisasikan cita-cita arwah Izham untuk menulis novel-novel yang selama ini menjadi impian dia. Dan watak utama dalam setiap cerita itu adalah manifestasi cinta dia pada perempuan pujaannya.”

Adakah ini yang dinamakan takdir? Selama mereka berhubungan, Izham tak pernah tunjukkan gambar Maya. Tetapi, Izham selalu bercerita tentang Maya dengan begitu terperinci.

“Novel-novel awak mempertemukan kita, Ilham,” ulang Maya. “Tak susah mana nak cari tahu siapa Ilham Pujangga. Berdasarkan lakaran watak dalam setiap novel awak dan pastinya rupa awak seiras dengan arwah Izham.”

“Tapi kenapa awak datang dan cari saya?” Walaupun kebenaran sudah tersingkap sepenuhnya, namun Aku masih belum mengerti tujuan Maya melakukan semua ini.

Maya menghela nafas sebelum menjawab bagi mengumpul kekuatan untuk menyatakan hasrat yang sebenar.

“Bukan niat saya mahu awak rasa sakit itu semula selepas awak berjaya singkirkan trauma. Tapi, dengan mengingat kembali tragedi hitam itu, akan kembalikan memori awak dengan keluarga awak termasuklah Izham.” Maya memalingkan muka ke arah tanah, tidak mahu memandangkanku buat seketika.

“Saya nak tebus balik kesilapan yang saya dah buat dengan arwah Izham. Saya mempermainkan perasaan dia sedangkan dia tulus mencintai saya. Sehinggalah saya dapat tahu dia terlibat dalam kemalangan. Waktu itu, baru saya sedar rupa-rupanya saya terlalu ego untuk mempertahankan hubungan kami. Tapi, semuanya sudah terlambat.”

Maya pandang semula ke arah aku dengan wajah yang sembab. “Cerita-cerita awak menyedarkan saya. Dari situlah saya cuba cari awak supaya saya dapat buang rasa bersalah yang bersarang dalam jiwa ini,” luahnya setulus hati.

Aku buntu. Maya tidak perlu melakukan semua itu semata-mata untuk membuang rasa bersalahnya. Ungkapan maaf tidak akan dapat mengembalikan Izham.

Tapi, aku kagum dengan keberanian dan ketulusan dia sampai sanggup cari aku semata-mata mahu menebus kesilapan yang pernah dilakukan.

Lantas, aku bangkit semula untuk mengumpul kekuatan menghadapi kebuntuan ini. Aku menapak ke arah kereta sedangkan Maya masih termangu-mangu menantikan kata-kata dariku.

Apabila aku pandang ke belakang, Maya membalas pandanganku dengan mata sayu. Menagih harapan agar dia boleh menebus segala kesilapannya selama ini dengan mendekatiku.

Sama seperti tajuk novel yang sedang aku usahakan, mungkin Maya adalah jawapan kepada pengakhiran cerita untuk masa depan.

Oleh Firdaus Dahlan

Antara Dua Diam

HARI pertama aku pegang dia. Kecil. Cerah kulitnya, ikut mak. Tangisannya kuat, seolah-olah dia belum bersedia menghadapi dunia. “Abang nak

Unsur Prosa dan Puitis dalam Sajak

APABILA membuat penelitian terhadap sesebuah sajak, selalunya usaha lebih tertumpu untuk memahami aspek intelektualisme dan nilai ilmunya. Namun pada masa

Antara Peniruan Kenyataan dan Karya Seni

‘‘Kualiti penulisan seseorang secara tidak langsung akan berhubungan dengan tahap pemahamannya mengenai sikap manusia.’’ – Bong Joon Ho, pengarah filem

Puisi

Lara Hati Jika diikut lara hati ingin terasing membawa diri pergi jauh menuju alam nian abadi. Lara hati membawa lari,