PUTRAJAYA: Sektor pendidikan Sarawak mencuri tumpuan negara apabila mencatatkan kejayaan cemerlang dan merangkul pengiktirafan tertinggi dalam Majlis Anugerah Penggunaan Digital dan Teknologi (DUTA) 2026 di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), semalam.
Menurut kenyataan media Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan sekolah-sekolah di negeri ini dalam memperkasakan transformasi digital bagi meningkatkan kualiti pengajaran, pembelajaran dan pembangunan bakat murid.
“Anugerah DUTA merupakan pengiktirafan berprestij KPM menerusi BSTP bagi menghargai kecemerlangan institusi pendidikan, guru dan murid yang berjaya mengintegrasikan teknologi digital secara kreatif serta berkesan.

SK Pendidikan Khas Miri dinobatkan penerima Anugerah Emas Kategori Pendidikan Digital Terbaik Sekolah Rendah Pendidikan Khas.
“Pencapaian tersebut turut memperlihatkan kejayaan pelaksanaan agenda pendidikan digital Sarawak yang selari dengan aspirasi ‘Menjulang Pendidikan Sarawak’ menerusi Rancangan Pembangunan Pendidikan Sarawak (RPPS) 2026 hingga 2035,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Antara kejayaan terbesar ialah Anugerah Emas Kategori Pendidikan Digital Sekolah Menengah yang dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lanang, Sibu serta Anugerah Emas Kategori Pendidikan Digital Terbaik Sekolah Rendah Pendidikan Khas oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Miri.
Turut mencuri perhatian ialah Jaynerson Joelee dari SMK Bintulu yang dinobatkan sebagai Ikon Murid Kategori Pembangunan Perisian, sekali gus membuktikan kemampuan murid Sarawak dalam bidang inovasi dan teknologi digital.


JAYNERSON Joelee dari SMK Bintulu dinobatkan sebagai Ikon Murid Kategori Pembangunan Perisian, manakala SMK Lanang, Sibu menerima Anugerah Emas Kategori Pendidikan Digital Sekolah Menengah.
JPNS turut merakamkan penghargaan kepada guru pembimbing, pentadbir sekolah serta ibu bapa yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan membanggakan itu.
Menurut JPNS, pengiktirafan berkenaan menjadi bukti budaya inovasi dan kecemerlangan digital terus subur dalam ekosistem pendidikan Sarawak, sekali gus membuka ruang melahirkan lebih ramai inovator muda bertaraf nasional dan antarabangsa.
JPNS menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh pembudayaan teknologi digital melalui pendekatan proaktif, persuasif dan produktif demi melahirkan generasi masa depan yang kompeten, berdaya saing serta berfikiran global.
Oleh Adi Safarman




