Kes jenayah indeks Sarawak turun 19 peratus dalam tempoh enam bulan pertama 2026

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DCP SAC Saifullizan Ishak memeriksa perbarisan.

KUCHING: Sarawak merekodkan penurunan 19 peratus kes jenayah indek sdalam tempoh enam bulan pertama 2026, dengan pengurangan sebanyak 462 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Berucap pada perbarisan bulanan, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, SAC Saifullizan Ishak berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan operasi pencegahan jenayah yang dilaksanakan secara berterusan, penguatkuasaan bersepadu serta penglibatan aktif masyarakat dalam memperkukuh keselamatan di seluruh negeri.

“Jenayah kekerasan menurun sebanyak empat kes atau satu peratus, manakala jenayah harta benda mencatatkan pengurangan lebih ketara iaitu sebanyak 458 kes atau 22 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, Saifullizan berkata, beberapa kategori jenayah masih menjadi perhatian walaupun trend keseluruhan menunjukkan penurunan.

Beliau berkata, kes rogol meningkat sebanyak 39 kes atau 53 peratus dalam tempoh separuh pertama 2026. Kes samun berkumpulan bersenjata pula meningkat sebanyak dua kes, manakala kes samun bersenjata bertambah satu kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sebaliknya, semua kategori di bawah jenayah harta benda menunjukkan trend penurunan tanpa sebarang peningkatan direkodkan dalam tempoh berkenaan.

Menurut beliau, penyalahgunaan dadah terus menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada berlakunya jenayah.

Dalam tempoh 1 Januari hingga 30 Jun, polis menahan 3,763 individu bagi pelbagai kesalahan jenayah, dengan 965 individu atau 26 peratus daripada jumlah itu didapati positif dadah.

Mengenai penguatkuasaan antidadah, beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak merekodkan 8,460 tangkapan dari 1 Januari hingga 12 Julai tahun ini, meningkat 32.7 peratus berbanding 6,375 tangkapan dalam tempoh sama pada 2025.

“Seramai 429 pengedar dadah ditahan, manakala jumlah rampasan dadah dan racun mencecah RM64 juta berbanding RM11 juta tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak RM52.9 juta atau 477.8 peratus,” katanya.

Beliau berkata, tindakan pencegahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 turut meningkat dengan 18 tangkapan berbanding 11 sebelum ini.

Saifullizan berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan strategi JSJN menerusi pendekatan ‘Tiada Hari Tanpa Tangkapan’ melalui operasi berasaskan risikan, penguatkuasaan, usaha pencegahan serta kerjasama rapat dengan agensi berkaitan dan masyarakat.

Mengenai jenayah komersial, beliau berkata Sarawak merekodkan 2,530 kes dari 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini berbanding 1,856 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) turut menahan 1,068 suspek, yang kesemuanya telah didakwa di mahkamah.

Tambah beliau, polis kekal komited membanteras jenayah siber dan komersial yang semakin kompleks, selain memastikan pesalah dibawa ke muka pengadilan.

Beliau turut mengingatkan seluruh warga polis supaya sentiasa menjaga integriti, profesionalisme dan kebertanggungjawaban, sambil menegaskan tiada kompromi terhadap salah laku, penyalahgunaan kuasa, rasuah atau pelanggaran disiplin.

“Integriti adalah asas kepada kepercayaan masyarakat dan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM). Setiap pegawai perlu melaksanakan tugas mengikut undang-undang, prosedur ditetapkan serta standard etika tertinggi,” katanya.

Oleh Connie Chieng