PADA awal bulan ini wacana ini pernah membicarakan mengenai serangan terhadap Balai Polis Batu 18, Jalan Kuching-Simanggang. Serangan itu mengemparkan negara kerana pihak musuh mampu menceroboh sempadan dan menyerang pasukan keselamatan yang terletak tidak jauh dari ibu negeri Sarawak.
Bahayanya serangan yang berlaku ini telah mendorong pihak berkuasa, termasuk pemimpin di peringkat Persekutuan dan negeri, untuk mencari ikhtiar bagi memastikan peristiwa seumpama itu tidak lagi berulang.
Hasil daripada ikhtiar tersebut, satu tindakan pemindahan penduduk telah dilaksanakan yang dinamakan sebagai Operasi Hammer.

Perbincangan
Majlis Tertinggi Sarawak pernah membincangkan tentang kejadian serangan ini. Pada 1 Julai 1965, satu mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif Keselamatan Negeri telah diadakan. Mesyuarat ini dihadiri oleh Ketua Menteri Stephen Kalong Ningkan, Pengarah Operasi, Mejar Jeneral G. H. Lea dan pemangku Ketua Polis Negara, Dato Sir Claude Fenner.
Mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif Keselamatan ini diikuti dengan mesyuarat kedua pada 4 Julai 1965. Mesyuarat kedua ini dihadiri oleh Kalong Ningkan dengan pegawai-pegawai pembangunan, ketua tentera termasuk Komander Keselamatan tentera di Bahagian Barat Sarawak, Bridgader W. W. Cheyne.
Mesyuarat ini memutuskan untukmenjalankan skim penempatan semula di kawasan yang dipengaruhi oleh pihak komunis.
Sasaran utama bagi projek penempatan semula ini terletak di sepanjang kawasan Jalan Kuching-Simanggang. Selain itu, skim penempatan ini turut menyasarkan beberapa kawasan lain termasuk Kanowit, Sarikei, Binatang (kini Bintangor), Bau, Lundu, dan Serian.
Bagaimanapun, usaha yang lebih intensif telah digerakkan di kawasan Jalan Kuching-Simanggang.
Bermula
Operasi Hammer ini digerakkan dengan kadar segera bermula pada 7 Julai 1965. Operasi ini digerakkan seawal pagi pada tarikh tersebut. Mereka yang dipindahkan ini ditempatkan di kawasan di Batu 15 hingga Batu 24.
Operasi ini mempunyai tiga matlamat penting. Matlamat pertama adalah untuk melumpuhkan aktiviti komunis. Seterusnya operasi ini bermatlamat mewujudkan suasana keyakinan dan mengembalikan kerjasama penduduk dalam melawan pihak musuh.
Ketiga, operasi ini berfungsi sebagai pengajaran kepada kawasan lain bahawa mana-mana unsur masyarakat yang dipengaruhi komunis tidak boleh menyokong keganasan. Ini kerana tindakan sedemikian akan berdepan dengan tindakan undang-undang.
Sebenarnya Operasi Hammer telah diutara secara rahsia sejak akhir Jun 1965 iaitu tiga hari selepas serangan ke atas Balai Polis Batu 18. Tindakan untuk merahsiakan operasi ini penting kerana dikhuatiri akan menganggu perjalanan operasi ini.
Keputusan yang dibuat pada akhir Jun 1965 itu telah dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif Keselamatan Negeri yang telah diluluskan oleh Majlis Tertinggi Negeri.
Hari berikutnya satu mesyuarat penuh dilakukan yang dipengerusikan oleh Kalong Ningkan dan membawa usul ini kepada Kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat pula tidak teragak-agak untuk mengesahkan Operasi Hammer yang perlu digerakkan dengan kadar segera.

Fasa
Pelaksanaan operasi ini dibahagikan kepada dua fasa. Fasa pertama merupakan gerakan pantas, bertujuan mengumpulkan kesemua penduduk yang terlibat ke dalam kawasan kawalan sementara yang berpagar kawat duri.
Seterusnya, fasa kedua menumpukan kepada strategi pemindahan sistematik penduduk yang disasarkan ke lokasi penempatan semula yang telah ditetapkan.
Pada fasa pertama, kerajaan memberi banyak kemudahan kepada penduduk terlibat termasuk bekalan elektrik, bekalan air bersih, makanan, ubat ubatan dan beberapa lagi kemudahan lain.
Pada masa sama, Setiausaha Jawatankuasa Eksekutif Keselamatan Negeri, David Wilson menjelaskan kepada pihak wartawan tentang sebab-sebab melancarkan Operasi Hammer.
Dalam hal ini beliau menyatakan bahawa kerajaan negeri menghadapi masalah disebabkan oleh ancaman komunis. Oleh itu wajar dilakukan usaha menghapuskan subversif dalaman untuk mewujudkan perpaduan bagi Malaysia.
Taklimat
Bagi Wilson, perkara yang penting diambil kira pada masa itu adalah usaha rancangan pembangunan. Kejayaan dalam rancangan pembangunan ini bukan sahaja dapat membantu perpaduan untuk Malaysia tetapi juga keamanan dan kemakmuran serta pembentukan kerajaan yang stabil.
Beliau menambah bahawa ancaman daripada konfrontasi Indonesia tidak segetir bahaya yang dicetuskan oleh kegiatan subversif dalaman.
Menyentuh semula pelaksanaan Operasi Hammer, beliau menjelaskan bahawa operasi ini bermatlamat utama untuk melindungi masyarakat di dalam kawasan kawalan ketat serta mengekang elemen subversif daripada terus mengganggu kehidupan seharian penduduk.
Apa yang mengerakkan operasi ini menurut Wilson adalah kejadian serangan berlaku pada 27 Jun 1965 yang membawa kepada kematian dua anggota polis dan enam orang awam yang dibunuh oleh pihak penganas.
Dalam tempoh 24 jam selepas kejadian tersebut pihak kerajaan memerlukan maklumat jelas tentang apa yang berlaku dan apakah tindakan perlu dilakukan selepas itu.
Rahsia
Seperti dijelaskan awal tadi bahawa operasi ini dilancar sebagai operasi rahsia. Wilson menyatakan bahawa perlunya operasi itu dirahsiakan. Penduduk yang terlibat juga tidak tahu menahu tentang operasi ini.
Tindakan menghalang keluar masuk dilakukan dengan teliti sehingga pihak wartawan juga tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan yang dikawal dengan kawat berdiri.
Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, D. Goodsir, tampil menjelaskan perincian mengenai kawasan kawalan sementara yang terlibat.
Menurut beliau, lokasi yang dikawal ketat itu terletak di atas tanah Zon Campuran (Mixed Zone), iaitu sebuah kawasan penempatan yang dihuni oleh masyarakat Cina yang sebahagian besarnya bekerja dalam sektor pertanian lada dan getah.
Kawasan tersebut juga bersempadan dengan rumah panjang dan kampung orang Bidayuh. Terdapat juga beberapa kampung orang Melayu.
Tambahan daripada itu di sebelah selatan dan baratnya adalah kawasan pergunungan yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia. Kedudukan geografi ini menunjukkan bahawa kawasan tersebut terdedah kepada pengaruh dan ancaman luar terutama komunis.
Dalam hal ini, Goodsir mengakui bahawa pergerakan komunis telah menjadikan kawasan tersebut sebagai medan aktiviti mereka sejak bermulanya sejarah kegiatan komunis di Sarawak.
Menurut penelitian beliau, kegiatan subversif ini telah mula bertapak di kawasan tersebut sejak 1951 dan pengaruhnya dilihat semakin berkembang luas pada 1959.
Secara keseluruhannya, Operasi Hammer ini satu langkah penting dalam memutuskan hubungan antara pihak komunis dan penduduk tempatan.
Perbincangan lanjut tentang operasi ini akan diteruskan pada keluaran akan datang.
Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan di Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.





