
KECEDERAAN teruk dibahagian kaki mangsa selepas digigit sang bedal.
SARATOK: Keberanian luar biasa seorang nelayan tempatan berjaya menyelamatkan nyawanya daripada menjadi mangsa baham sang bedal dalam satu kejadian serangan buaya yang mendebarkan di Sungai Krian dekat Rumah Galing, Lubok Nibong, petang tadi.
Mangsa yang berusia 54 tahun berasal dari Kampung Tengah Perpat, sebelum itu telah bertolak seorang diri kira-kira 2.00 petang untuk untuk menangkap udang atau lebih dikenali sebagai ‘senek’ oleh penduduk tempatan dengan menggunakan bot enjin 15 kuasa kuda.
Selepas lebih kurang sejam setengah ‘menyadak’ senek di kawasan sungai berkenaan, suasana tenang bertukar cemas apabila seekor buaya secara tiba-tiba muncul dan menyerang dengan menerkam paha beliau.
Dalam keadaan penuh panik dan kesakitan, mangsa menggunakan sifat keberaniannya dengan bertindak nekad mencucuk sebelah mata sang bedal tersebut.
Tindakan berani itu membuahkan hasil apabila reptilia ganas berkenaan terus melepaskan gigitannya dan berundur.


SEORANG lelaki berdepan detik mencemaskan apabila diserang seekor buaya ketika menangkap udang atau senek di Sungai Krian, petang tadi, namun berjaya menyelamatkan diri selepas melawan reptilia berkenaan. Mangsa sedang dirawat di Hospital Saratok sebelum dirujuk ke Hospital Sarikei malam ini.
Tanpa membuang masa, mangsa terus mengemudi botnya pulang ke jeti pangkalan perahu Kampung Tengah Perpat dalam keadaan kaki yang berlumuran darah.
Sebaik tiba di pangkalan, beliau dibantu oleh penduduk kampung yang berada di lokasi sebelum dibawa pulang ke rumahnya.
Kira-kira 4.00 petang, mangsa telah bergegas dibawa oleh isterinya ke Hospital Saratok bagi mendapatkan rawatan lanjut akibat kecederaan parah pada bahagian paha.
Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Perpat, Azman Nawi ketika dihubungi Utusan Sarawak menjelaskan mangsa kini sedang dirawat di Hospital Saratok dan akan dirujuk ke Hospital Sarikei malam ini akibat luka di bahagian kaki yang parah akibat kejadian tersebut.
Oleh Adi Safarman



