30 wanita sertai Bengkel Kraf Sugu Tinggi, perkasa ekonomi komuniti di Bukit Saban

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

DEBAK: Usaha memperkasa golongan wanita menerusi pembangunan kemahiran dan pemeliharaan warisan budaya terus diperkukuh apabila Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban menganjurkan Program Kemahiran Kraf di Rumah Ambu, Suri Tengah, semalam.

Program yang dicetuskan oleh Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah itu memberi tumpuan kepada seni pembuatan dan ukiran Sugu Tinggi sebagai antara warisan kraf tradisional yang mempunyai nilai budaya tinggi serta wajar dipelihara untuk generasi akan datang.

Seramai 30 peserta daripada Ranting PBB Suri Tengah, Suri Lalang, Suri Baroh dan Suri Rapong menyertai bengkel berkenaan, memperlihatkan kesungguhan wanita luar bandar dalam meningkatkan kemahiran serta meneroka peluang ekonomi berasaskan kraf warisan.

SERAMAI 30 peserta daripada Ranting PBB Suri Tengah, Suri Lalang, Suri Baroh dan Suri Rapong menyertai Program Kemahiran Kraf di Rumah Ambu, Suri Tengah, semalam. Foto: Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban

Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti latihan secara praktikal di bawah bimbingan tenaga pengajar berpengalaman, Edika Jalin, yang berkongsi teknik asas sehingga kaedah menghasilkan ukiran Sugu Tinggi dengan kemasan yang berkualiti.

Natasha berkata, penganjuran program itu bukan sekadar memberi pendedahan kepada peserta menghasilkan produk kraf, malah bertujuan membina keyakinan diri dan memperkasakan wanita agar mampu menjadikan kemahiran tersebut sebagai sumber pendapatan.

Beliau berkata, seni pembuatan dan ukiran Sugu Tinggi mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai produk ekonomi komuniti menerusi latihan berterusan, kreativiti serta inovasi dalam penghasilan produk yang memenuhi kehendak pasaran.

Menurutnya, usaha memelihara warisan seni kraf tradisional amat penting bagi memastikan identiti budaya masyarakat terus kekal, di samping membuka ruang kepada generasi muda mempelajari dan mewarisi kemahiran tersebut.

Katanya lagi, penghasilan produk kraf yang berkualiti dan bernilai komersial mampu membantu wanita menghasilkan produk tempatan yang berdaya saing, sekali gus berpotensi menembusi pasaran yang lebih luas.

Selain meningkatkan kemahiran, program itu turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara peserta daripada beberapa ranting PBB di kawasan Suri menerusi perkongsian ilmu, pengalaman dan idea bagi memperkukuh pembangunan industri kraf komuniti.

Penganjur berharap Program Kemahiran Kraf berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pembangunan wanita pada masa hadapan, sekali gus menyumbang kepada pemeliharaan warisan budaya, memperkasa ekonomi komuniti serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat di kawasan Bukit Saban.

Oleh Adi Safarman