SEPANG: AirBorneo Airways (AirBorneo) akan memperluaskan operasinya ke beberapa destinasi di seluruh ASEAN sambil terus mengekalkan tanggungjawabnya untuk menyediakan perkhidmatan udara luar bandar (rural air services) di Sarawak dan Sabah.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak itu akan memulakan penerbangan sulung bagi laluan Kuching-Singapura pada 22 Julai bersempena dengan sambutan Hari Sarawak, diikuti Jakarta dalam tempoh dua bulan.
Beliau berkata seterusnya AirBorneo merancang untuk memperluaskan rangkaian penerbangannya ke bandar-bandar lain di ASEAN bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dan perhubungan antara rakyat di rantau tersebut.
“Hasrat AirBorneo ialah menyediakan perkhidmatan antara bandar dalam ASEAN, sekali gus mengukuhkan hubungan ekonomi antara negara anggota ASEAN, khususnya Indonesia, Singapura dan negara yang berjiran dengan Sarawak,” katanya pada sidang media sempena penerbangan sulung AirBorneo dari Kuching ke Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata pengambilalihan MASwings oleh kerajaan Sarawak membolehkan AirBorneo meneruskan perkhidmatan udara luar bandar ke kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah, selain mengembangkan operasinya sebagai syarikat penerbangan komersial di kedua-dua negeri itu. – Bernama



