SIMANGGANG: Program Jangkauan Teknologi Komuniti (CTOP) dilihat mampu menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa masyarakat menerusi pembangunan kemahiran yang berpotensi meningkatkan taraf hidup serta menjana peluang ekonomi baharu.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata program berkenaan bukan sekadar berlangsung selama dua hari, sebaliknya menjadi platform penting untuk membuka ruang kepada peserta membina masa depan yang lebih baik melalui penguasaan kemahiran.
Beliau berkata seramai 150 peserta dari sekitar Parlimen Sri Aman telah mengikuti latihan dalam pelbagai bidang termasuk bakeri, patisserie, solekan, pembuatan kuas, fertigasi dan hidroponik yang mempunyai nilai ekonomi tinggi serta berpotensi melahirkan lebih ramai usahawan tempatan.
Menurutnya, semua bidang yang ditawarkan mampu memberi pulangan lumayan sekiranya peserta terus berusaha mengembangkan kemahiran yang dipelajari kepada perusahaan atau perniagaan sendiri.
“Saya percaya bahawa ilmu menjadikan seseorang tahu, tetapi kemahiran menjadikan seseorang mampu. Ilmu ialah asas, namun kemahiranlah yang membolehkan seseorang mengubah pengetahuan kepada tindakan dan kejayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Jangkauan Teknologi Komuniti (CTOP) anjuran bersama Pusat Khidmat P202 Parlimen Sri Aman dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di Dewan Suarah Sri Aman, semalam.
Doris turut menegaskan bahawa kemahiran merupakan jambatan yang menghubungkan pengetahuan dengan tindakan, manakala kepandaian membuka peluang tetapi kemahiran menjadi penentu kepada kejayaan seseorang.
“Ramai usahawan berjaya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah sebelum berkembang menjadi jenama yang dikenali, sekali gus membuktikan setiap kejayaan besar bermula dengan langkah yang kecil,” katanya.
Sehubungan itu, Doris menggesa para peserta memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan kemahiran yang diperoleh bagi membina perniagaan sendiri, mewujudkan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi keluarga dan komuniti.
Pada masa sama, beliau mengingatkan peserta bahawa individu yang berilmu akan dihormati, namun mereka yang memiliki kemahiran sentiasa diperlukan dalam pasaran pekerjaan dan dunia keusahawanan yang semakin kompetitif.
Doris turut merakamkan penghargaan kepada CENTEXS atas kerjasama erat yang terjalin dengan Pusat Khidmat P202 Parlimen Sri Aman dalam menyediakan pelbagai latihan kemahiran kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata Pusat Khidmat P202 Parlimen Sri Aman akan terus memperkukuh kerjasama dengan CENTEXS serta agensi berkaitan bagi memperluaskan program pembangunan kemahiran, sekali gus melahirkan masyarakat Sri Aman yang lebih berdikari, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan.
Oleh Adi Safarman



