“Biar pelajar terbang murah dari Sarawak ke Subang” – Abang Johari

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Pelajar Sarawak yang menuntut di Semenanjung berpotensi menikmati tambang penerbangan lebih rendah ke Subang menerusi AirBorneo apabila syarikat penerbangan itu menerima pesawat tambahan pada masa akan datang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata AirBorneo boleh menyediakan perkhidmatan penerbangan menggunakan pesawat ATR dengan tambang lebih rendah bagi memudahkan pergerakan pelajar antara Sarawak dan Semenanjung.

“Kalau kita ada pesawat tambahan, mengapa tidak kita turut menyediakan penerbangan ATR untuk pelajar kita dengan tambang lebih murah dari Sarawak ke Subang?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena penerbangan sulung AirBorneo dari Kuching ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini.

Menurutnya, inisiatif itu turut memberi manfaat kepada pelajar dari Semenanjung yang menuntut di Sarawak, sekali gus memudahkan pergerakan antara kedua-dua wilayah.

PREMIER Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima cenderamata sempena penerbangan sulung AirBorneo dari Kuching ke Kuala Lumpur, hari ini. Foto Nadya Victoria 

Katanya, AirBorneo dijangka menerima pesawat baharu tahun depan selepas menggantikan pesawat ATR sedia ada dengan model yang lebih moden.

“Kalau pesawat baharu, konfigurasinya dalam pesawat itu saya minta ubah sedikit. Biar terasa seperti kelas pertama juga,” katanya.

Abang Johari berkata penambahan pesawat pada masa akan datang akan membolehkan AirBorneo memperluas jaringan penerbangannya ke destinasi lain.

Dalam pada itu, beliau berkata AirBorneo turut memainkan peranan dalam membantu memastikan tambang penerbangan kekal kompetitif.

PESAWAT AirBorneo bersedia untuk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sempena penerbangan sulungnya ke Kuala Lumpur, hari ini. Foto Nadya Victoria

Menurutnya, pengenalan tambang serendah RM375 sebelum ini mendapat respons pasaran apabila syarikat penerbangan lain turut mula menurunkan tambang mereka.

“Apabila kita mengumumkan tambang RM375, harga pasaran yang lain pun mula turun.

“Walaupun orang kata kita tidak berorientasikan keuntungan, sekurang-kurangnya objektif kita tercapai apabila mereka memberi respons terhadap harga kita,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata AirBorneo dijadualkan memulakan penerbangan ke Singapura pada 22 Julai sempena sambutan Hari Sarawak.

Beliau berkata jumlah pesawat AirBorneo dijangka bertambah dalam tempoh empat hingga lima bulan akan datang bagi memperluas jaringan penerbangannya.

Oleh Adele Rissa