SKUAD Kuching City FC (KCFC) kembali menemui sentuhan kemenangan apabila berjaya menewaskan Perak FC II 2-0 dalam aksi di Stadium Perak Ipoh, malam semalam.
Kemenangan ini sekali gus menjadi peningkat semangat serta motivasi pemain selepas bergelut untuk memperoleh mata penuh selepas lima perlawanan yang hanya mencatatkan keputusan tiga kali seri dan dua kekalahan, yang mana kali terakhir memenangi perlawanan pertama menentang PDRM FC 2-1, pada 20 Mac lalu.
Dalam perlawanan malam itu, permainan berlangsung seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan yang beraksi berhati-hati terutama Perak FC II yang turun dengan misi memburu mata penuh dan berikrar memberi tentangan sengit kepada pelawat untuk memastikan mereka tidak mencuri sebarang mata.
Namun, dua jaringan pada babak kedua membolehkan anak buah Irfan Bakti Abu Salim meraih tiga mata berharga mereka pada malam itu, sekali gus menghuni tangga kelapan Liga Premier dengan mengumpul 10 mata.
Kuching City FC yang bijak menghidu peluang, menghukum pertahanan tuan rumah menerusi jaringan Mohd. Aliff Hassan pada minit ke-57 dan pemain gantian Joseph Kalang Tie turut menyumbang gol kemenangan pada masa tambahan sekali gus meranapkan impian ruan rumah untuk mengutip mata penuh.
Skuad tuan rumah kendalian Syamsul Mohd Saad kelihatan agresif mengatur serangan menerusi gandingan Muhammad Aqil Hilman Danial Roslan dan pemain tengah, Aidril Faqir Yousni namun percubaan demi percubaan gagal menembusi gawang pelawat.
Bagaimanapun, usaha tuan rumah untuk bangkit selepas itu hampa apabila mendapati benteng Kuching City begitu kekal dan utuh.
Keputusan malam itu menyaksikan Perak FC II dilanda kemarau kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut selepas seri dengan skuad Projek FAM-MSN, Sabtu lalu.
Pujian harus dihamburkan kepada pasukan Kuching City yang berjaya menyerap segala asakan dalam perlawanan kategori seimbang ini sekali gus mencuri tiga mata untuk dibawa pulang ke Kuching.
Kuching City melonjak ditangga kelapan bagi memintas dua pasukan Perak FC II dan PDRM FC, selepas beraksi 10 perlawanan dengan dua kemenangan, empat seri, empat kalah dan memungut 10 mata.
Oleh ADI SAFARMAN