Perpustakaan Desa Kampung Tambirat perkukuh budaya ilmu, lahir modal insan berkualiti

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ASAJAYA: Perpustakaan Desa Kampung Tambirat yang telah dinaik taraf diharap menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat berilmu, sekali gus melahirkan generasi yang berpengetahuan, berinovasi dan mampu menyumbang kepada pembangunan Sarawak pada masa depan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan sesebuah masyarakat tidak hanya bergantung kepada kemajuan infrastruktur, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pelaburan dalam bidang pendidikan serta pembangunan modal insan.

Menurut beliau, perpustakaan mempunyai peranan besar dalam membentuk cara berfikir masyarakat kerana kemajuan sesebuah tamadun lahir daripada budaya ilmu dan amalan membaca.

“Masjid membentuk akhlak, sekolah membentuk pengetahuan dan balai raya mengeratkan perpaduan masyarakat, namun perpustakaan membentuk pemikiran.

“Tamadun yang hebat tidak dibina semata-mata dengan bangunan besar, tetapi dibangunkan oleh masyarakat yang mencintai ilmu pengetahuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perpustakaan Desa Kampung Tambirat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejarah kegemilangan tamadun Islam melalui kewujudan Baitul Hikmah di Baghdad yang melahirkan tokoh ilmuwan seperti Al-Khawarizmi dan Ibnu Sina membuktikan bahawa kemajuan sesuatu tamadun bermula daripada penguasaan ilmu.

Katanya, semangat tersebut perlu dipupuk di peringkat akar umbi menerusi peranan perpustakaan desa bagi menyemai minat membaca serta membudayakan pencarian ilmu dalam kalangan generasi muda.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan automasi tidak seharusnya menyebabkan masyarakat mengabaikan kepentingan ilmu pengetahuan sebagai asas kepada kemajuan.

“Teknologi boleh membantu mempercepatkan kerja manusia, namun ia tidak mampu membentuk akhlak dan nilai kemanusiaan.

“AI mungkin boleh menjadi pembantu kepada manusia, tetapi ilmu pengetahuan mesti menjadi pemimpin kepada teknologi tersebut,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Kampung Tambirat kini menikmati pelbagai kemudahan asas termasuk jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan telekomunikasi, selain bakal menerima impak pembangunan projek waterfront bernilai hampir RM200 juta yang dijangka menjadi antara yang terpanjang di Sarawak selepas Tebingan Kuching.

Menurut beliau, projek itu diyakini mampu merancakkan ekonomi setempat, di samping memperkukuh potensi Kampung Tambirat sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan dan komuniti.

Turut hadir Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Abang Ismawi Abang Ali, wakil Residen Bahagian Samarahan, Nur’ain Adam, Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang, Timbalan Pengerusi MPKS, Daily Joseph, Setiausaha MPKS, Zuraida Idris serta Pengerusi Pengelola Majlis Perasmian Perpustakaan Desa Kampung Tambirat 2026, Sopian Bujang.

Oleh Shikin Mahmud