ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengumumkan program jangka panjang untuk memulihkan ekonomi Sarawak pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 untuk manfaat semua rakyat Sarawak dalam masa terdekat.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari berkata, sudah tentu ekonomi pasca Covid-19 akan berubah dan beliau membuat pengumuman selepas mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkepentingan.
Abang Johari turut mengulas mengenai Kerajaan Persekutuan mengumumkan kelonggaran PKP melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Jumaat lalu, namun katanya, Kerajaan Sarawak akan memperhalusi kaedah pelaksanaan kelonggaran ini mengikut keperluan Negeri Sarawak.
“Ini sebagai langkah jangka panjang Kerajaan Sarawak akan terus berusaha untuk memastikan ekonomi Sarawak akan terus mampu untuk berkembang walaupun dalam keadaan yang sukar.
“Selain itu, ia bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat untuk terus mempunyai kemampuan untuk mendapat pekerjaan dan menerima pendapatan yang konsisten untuk menyara diri dan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena Hari Pekerja 2020 di sini, pada Jumaat lalu.
“Sebagai ketua Kerajaan Sarawak, saya akur bahawa tahun ini memang tahun yang amat sukar bagi semua golongan pekerja di semua bidang kerana wabak Covid-19 menghendaki PKP dilaksanakan untuk mengekang jangkitan virus Covid-19.
“PKP selama empat (4) fasa setakat ini telah memudaratkan keseluruhan perniagaan dan industri, khususnya di Sarawak yang mana mereka yang bergaji hari adalah golongan yang mengalami keadaan yang begitu sukar untuk memastikan setiap hari ada bekalan makanan untuk diri dan keluarga,” jelasnya.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak telah memberi bantuan secara langsung atau tidak langsung melalui program Bantuan Khas Sarawakku Sayang 2.0 (BKSS 2.0).
“Namun, saya akur BKSS 2.0 tidaklah mencukupi untuk meliputi semua keperluan rakyat kita dan saya amat berharap semua golongan pekerja dan masyarakat keseluruhannya akan terus bertabah untuk menghadapi segala dugaan.
“Bantuan secara langsung seperti bantuan tunai untuk Kumpulan B40 dan subsidi utiliti merupakan bantuan terus untuk meringankan beban rakyat, khususnya golongan pekerja,” ujarnya.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua golongan pekerja di Sarawak dan menyeru sama-sama berdoa agar sentiasa berada dalam keadaan yang sihat dan selamat.