Wanita rugi RM622,792 selepas terpedaya ‘peguam’ palsu di Miri

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MIRI: Sudah jatuh ditimpa tangga. Seorang wanita yang cuba mendapatkan semula wangnya selepas menjadi mangsa penipuan pembelian barang kemas, sekali lagi mengalami kerugian berjumlah RM622,792.65 selepas terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai peguam.

Mangsa berusia 27 tahun itu dipercayai berurusan dengan seorang individu menerusi media sosial yang memperkenalkan dirinya sebagai peguam dari Hong Kong dan mendakwa mampu membantu mendapatkan semula wang yang lesap akibat penipuan sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 18 Julai lalu.

Menurutnya, suspek menawarkan perkhidmatan kononnya mampu membantu mangsa mendapatkan semula wang yang hilang selepas ditipu dalam urusan pembelian barang kemas melalui media sosial.

“Bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut, mangsa diarahkan membuat pembayaran menggunakan mata wang kripto.

“Sebanyak 12 transaksi dilakukan antara 23 Jun hingga 18 Julai lalu mengikut arahan suspek, dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM622,792.65,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Farhan berkata, mangsa hanya menyedari dirinya sekali lagi menjadi mangsa penipuan selepas gagal menghubungi individu berkenaan selain mendapati nombor telefonnya telah disekat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap sindiket yang menyamar sebagai peguam dan mendakwa mampu membantu mendapatkan semula wang yang hilang akibat penipuan.

“Jangan mudah percaya dengan janji untuk mendapatkan semula wang yang telah ditipu atau membuat bayaran kononnya bagi yuran guaman, cukai atau kos pemprosesan.

“Orang ramai perlu membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan individu atau firma guaman yang menawarkan perkhidmatan itu benar-benar sah,” katanya.

Beliau turut menggesa mangsa penipuan siber yang baru membuat transaksi kepada akaun sindiket supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi mendapatkan bantuan.

Oleh Liong Chai Ling