KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang berada di Chile dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa, mengelakkan kawasan terjejas dan mengikuti perkembangan cuaca semasa susulan cuaca buruk yang masih memberi kesan kepada sebahagian besar kawasan tengah dan selatan negara itu.
Kedutaan Besar Malaysia di Chile juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya merancang pergerakan atau menangguhkan urusan lawatan ke wilayah yang terjejas sehingga keadaan kembali pulih, kecuali bagi urusan kecemasan, serta kekal berhubung dengan pihak kedutaan untuk mendapatkan maklumat dan bantuan sekiranya diperlukan.
“Mereka yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai maklumat mengenai warganegara Malaysia yang mungkin terjejas boleh menghubungi pihak kedutaan menerusi talian +56943490925 (pegawai konsular) atau e-mel mwsantiago@kln.gov.my,” menurut kedutaan dalam maklum balas e-mel kepada Bernama.
Berdasarkan rekod pendaftaran kedutaan, tiada rakyat Malaysia berada di kawasan yang terjejas dan setakat 10.00 pagi Sabtu (waktu tempatan), tiada laporan diterima mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana itu.
Sehingga 16 Julai, seramai 45 rakyat Malaysia yang berada di Chile telah berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia, termasuk pegawai yang ditempatkan dari ibu pejabat (Home Based Staff, HBS) di Kedutaan Besar serta ahli keluarga mereka.
Menurut kedutaan, pihaknya telah menghubungi rakyat Malaysia bagi mendapatkan maklumat mengenai keadaan semasa selain mengadakan komunikasi secara berterusan menerusi kumpulan WhatsApp.
“Pihak Kedutaan akan memantau situasi dan melaporkan perkembangan terkini kepada Kementerian Luar serta menasihati rakyat Malaysia di Chile dari semasa ke semasa,” menurut kedutaan.
Kerajaan Chile telah mengisytiharkan darurat pencegahan (Preventive State of Emergency) di 10 daripada 16 wilayah iaitu Atacama, Coquimbo, Valparaíso, Metropolitan (Santiago), O’Higgins, Maule, Ñuble, Biobío, La Araucanía dan Los Ríos, sehingga 21 Julai, berikutan amaran pihak berkuasa mengenai cuaca buruk yang dikaitkan dengan El Nino.
“Keadaan semasa di bandar raya Santiago adalah selamat dengan hanya taburan hujan yang tinggi. Namun, terdapat kejadian banjir kilat di pinggir bandar raya Santiago,” menurut kedutaan.
Laporan media menyatakan sekitar 257,000 pengguna terputus bekalan elektrik, terutamanya di wilayah-wilayah selatan Chile.
Pihak berkuasa juga dilaporkan menutup beberapa jalan raya utama atas faktor keselamatan dan bagi mengehadkan pergerakan orang ramai. – Bernama




