9 RS gagalkan cubaan seludup 20 kotak tongkeng ayam di sempadan Limbang

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LIMBANG: Batalion Kesembilan Rejimen Sempadan (9 RS) berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup 20 kotak tongkeng ayam dianggarkan seberat 240 kilogram dalam operasi Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged) awal pagi tadi.

Jurucakap 9 Briged berkata dalam operasi pada 4.30 pagi itu, anggota 9 RS yang menjalankan rondaan rutin mengesan sebuah kereta Proton Saga dalam keadaan mencurigakan di sebuah laluan sungai di kawasan sempadan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 20 kotak berisi bekalan basah berupa tongkeng ayam yang dipercayai cuba diseludup keluar negara melalui laluan sungai.

“Kesemua bekalan basah berkenaan turut disita bersama sebuah kereta Proton Saga,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut kenyataan itu, semua barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Limbang untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.

Sementara itu, Panglima 9 Briged Brigadier Jeneral Datuk Jafri Sulaiman memuji kecekapan anggota 9 RS yang berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan berkenaan.

Beliau berkata Tentera Darat Malaysia (TDM) akan terus memperketat kawalan di kawasan sempadan tanpa kompromi bagi membanteras sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan. – Bernama