SIBU: Hujan lebat yang disertai angin kencang menyebabkan bumbung beberapa rumah di Sibu Jaya tercabut dalam kejadian kira-kira 3.00 petang tadi.
Insiden itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kerana kebanyakan pemilik rumah masih berada di tempat kerja ketika kejadian, manakala jiran-jiran segera memantau keadaan rumah yang terjejas.
Menurut seorang penduduk yang dikenali sebagai Juntan Andy, 46, ribut yang berlaku dalam tempoh singkat itu menyebabkan kerosakan pada beberapa buah rumah.
“Angin bertiup dengan luar biasa kuat. Syukur tiada sesiapa yang cedera kerana kebanyakan pemilik rumah tiada di rumah ketika kejadian. Mujur jiran-jiran berada di kawasan ini untuk memantau keadaan rumah yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata, penduduk berharap pihak berkuasa berkaitan dapat segera menjalankan penilaian terhadap kerosakan serta menyalurkan bantuan kepada keluarga yang terjejas.
Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, keadaan cuaca berubah secara tiba-tiba sebelum angin kencang melanda kawasan perumahan berkenaan.
“Ia berlaku dengan begitu pantas. Kami terdengar bunyi yang kuat sebelum melihat kepingan bumbung diterbangkan angin. Ramai pemilik rumah masih berada di tempat kerja ketika kejadian, jadi jiran-jiran segera menghubungi mereka selepas ribut reda,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang turut enggan dikenali berkata, penduduk di kawasan itu segera keluar sebaik hujan reda untuk memeriksa keadaan rumah yang rosak.
“Kami membantu mengalihkan barang-barang yang terdedah kepada hujan, selain menutup bahagian rumah yang rosak sebaik mungkin sementara menunggu pemilik pulang,” katanya.
Setakat ini, jumlah sebenar rumah yang terjejas serta anggaran kerugian masih belum dapat dipastikan.
Oleh Akun Giman




