Pemandu Kancil tersepit dalam kemalangan di Jalan Wong King Hou

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIBU: Seorang lelaki cedera selepas kereta Perodua Kancil yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di bulatan hadapan Hann Residence, Jalan Wong King Hou di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.34 petang sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral digerakkan ke lokasi.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati pemandu Perodua Kancil tersepit di tempat duduk pemandu.

“Dua lagi mangsa, termasuk pemandu pacuan empat roda, berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan, petang tadi.

Menurutnya, pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Selepas operasi menyelamat selesai, anggota bomba turut menjalankan kerja pembersihan sisa kemalangan bagi memastikan jalan selamat digunakan.

“Operasi ditamatkan pada 3.09 petang,” katanya.

Oleh Akun Giman