MIRI: Sarawak berada pada kedudukan terbaik untuk muncul sebagai hab logistik dan pengangkutan serantau susulan perkembangan pesat perdagangan di Borneo, termasuk pembangunan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kedudukan strategik negeri itu di tengah-tengah Borneo menjadikannya pintu masuk penting yang menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sabah, Brunei Darussalam, Kalimantan dan rantau ASEAN.
Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi Sarawak yang semakin rancak turut meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan logistik yang cekap, sekali gus membuka peluang besar kepada syarikat penghantar muatan, pengendali pengangkutan dan penyedia perkhidmatan logistik.

“Apabila rantaian bekalan global semakin saling berkait dan kompleks, peranan syarikat penghantar muatan bukan lagi sekadar menguruskan pergerakan kargo, malah menjadi rakan strategik dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi.
“Setiap peningkatan dalam kecekapan logistik akan meningkatkan daya saing perniagaan, mengurangkan kos operasi, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ramah Mesra sempena Mesyuarat Majlis Persekutuan Penghantar Muatan Malaysia (FMFF) Kali Ke-133 di sini, malam tadi.

Lee berkata, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, negeri ini sedang melalui transformasi ekonomi yang pesat dengan kemunculan industri baharu, peningkatan pelaburan serta kepelbagaian sektor ekonomi bernilai tinggi.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut memperkukuh sektor logistik menerusi pelbagai pelaburan strategik termasuk pembangunan Pelabuhan Bintulu, Pelabuhan Miri, projek pengerukan Kuala Baram, Terminal Lori Miri, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Sungai Tujoh, operasi kargo udara Kuching, syarikat penerbangan AirBorneo serta Pelan Induk Pengangkutan Bersepadu Sarawak.
Menurutnya, sektor pengangkutan dan logistik kini sedang melalui transformasi besar didorong teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), automasi, tenaga hijau dan mobiliti pintar.
“Di Sarawak, kita bukan sekadar bersedia menghadapi masa depan, malah sedang membinanya melalui pembangunan mobiliti hidrogen, pengukuhan infrastruktur digital, pengangkutan awam autonomi serta peningkatan keupayaan pelabuhan dan lapangan terbang.
“Kita mahu membina sistem pengangkutan dan logistik yang pintar, saling berhubung, mampan serta berdaya tahan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menjadikan Sarawak sebuah negeri yang maju, makmur dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengucapkan tahniah kepada FMFF dan Persatuan Ejen Penghantaran Sarawak (SFAA) kerana memilih Miri sebagai tuan rumah Mesyuarat Majlis FMFF Kali Ke-133 serta berharap perbincangan yang berlangsung mampu mengukuhkan kerjasama dan menjana idea baharu bagi memajukan industri logistik negara.
Oleh Liong Chai Ling




