PARIS: Dua orang maut dalam ribut yang melanda Perancis semalaman, menurut penyiar France Info pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Di kampung Saint-Victurnien di tengah Perancis, seorang wanita maut selepas dihempap pokok tumbang, manakala di wilayah Isere di tenggara negara itu, sebuah bengkel kerja logam terbakar selepas dipanah petir, mengorbankan pemiliknya.
Tahap amaran kedua tertinggi dikeluarkan di 30 daerah pentadbiran susulan jangkaan ribut selepas negara itu dilanda gelombang haba yang berpanjangan.

Sekitar 53,000 penduduk terputus bekalan elektrik buat sementara waktu selepas beberapa menara penghantaran elektrik tumbang.
Di wilayah Ardeche di tenggara Perancis, hujan batu sebesar bola tenis merosakkan ratusan kenderaan, bumbung rumah dan ladang anggur.
Perkhidmatan kereta api antara Toulouse dan Paris turut tergendala apabila beberapa tren berkelajuan tinggi yang beroperasi pada waktu malam mengalami kelewatan sehingga enam jam selepas pokok tumbang menghalang landasan, malah dalam satu kejadian merosakkan penyambung elektrik sebuah lokomotif. – Bernama




