Szoboszlai tandatangani kontrak baharu bersama Liverpool

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PEMAIN tengah Liverpool, Szoboszlai, tandatangani kontrak baharu bersama Liverpool

LONDON: Pemain tengah Liverpool, Dominik Szoboszlai, menandatangani kontrak baharu selama lima tahun hari ini sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depannya bersama kelab itu.

Szoboszlai masih berbaki dua tahun dalam kontrak terdahulu, namun kapten Hungary itu diberi ganjaran susulan prestasi cemerlang yang dipamerkannya musim lalu.

Sebelum ini, rundingan antara wakil pemain berusia 25 tahun itu dengan pengarah sukan Liverpool, Richard Hughes, dilaporkan menemui jalan buntu pada musim lalu.

Bagaimanapun, perbincangan kembali dipercepatkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini sebelum Szoboszlai akhirnya menandatangani kontrak baharu yang dipertingkatkan.

“Ini mungkin hari paling bermakna dalam hidup saya. Ada beberapa detik lain yang lebih istimewa, mungkin ketika saya menyertai Liverpool dan apabila anak saya dilahirkan. Tetapi dalam karier bola sepak saya, ini berada dalam tiga detik terbaik,” katanya.

“Saya tidak sabar untuk terus beraksi. Sentiasa ada ruang untuk menjadi lebih baik. Saya percaya saya masih boleh meningkatkan prestasi. Itulah yang mendorong saya sejak kecil, saya tidak pernah berasa puas dan saya masih berfikiran sama sekarang.

“Ketika saya menandatangani kontrak dahulu, saya berkata mahu memenangi segala-galanya. Perkara itu tidak pernah berubah. Saya mahu memenangi semua kejuaraan yang boleh dimenangi di negara ini, termasuk Liga Juara-Juara.

“Saya bersedia untuk mencapainya.”

Keputusan Szoboszlai untuk terus mengikat masa depan jangka panjang bersama Liverpool memberi suntikan besar kepada pengurus baharu, Andoni Iraola, yang tiba dari Bournemouth bagi menggantikan Arne Slot yang dipecat.

Szoboszlai menjadi tonggak penting di Anfield sejak menyertai Liverpool daripada kelab Jerman, Leipzig, pada 2023.

Musim lalu, beliau menjaringkan 13 gol dan mencipta 12 bantuan jaringan dalam 53 penampilan, sekali gus menjadi pemain tengah Liverpool pertama mencatat angka dua digit bagi kedua-dua kategori itu sejak Steven Gerrard pada musim 2013-14.

Sepanjang bersama Liverpool, Szoboszlai membantu kelab memenangi Liga Perdana Inggeris dan Piala Liga, selain dipilih sebagai Pemain Terbaik Musim Ini oleh penyokong Liverpool. – AFP