Indonesia sasar lancar motosikal elektrik nasional

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JAKARTA: Indonesia dijangka melancarkan motosikal elektrik nasional sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan kenderaan keluaran tempatan, selain merancang menghasilkan kereta nasional.

Presiden Prabowo Subianto berkata, motosikal elektrik nasional itu dijangka dilancarkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

“Kita akan mempunyai motosikal buatan rakyat Indonesia, kita juga akan mempunyai kereta buatan rakyat Indonesia. Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia (Polri) kini sudah menggunakan jip buatan rakyat Indonesia,” katanya ketika berucap pada satu program di Kabupaten Malang, Jawa Timur, pada Jumaat yang disiarkan secara langsung menerusi YouTube.

MOTOSIKAL elektrik. Foto sekadar hiasan.

Mengimbas semula tempohnya sebagai Menteri Pertahanan, Prabowo berkata beliau pernah diberi pilihan sama ada membeli jip import yang lebih murah atau jip keluaran tempatan yang lebih mahal, namun memilih untuk menyokong produk tempatan meskipun kosnya lebih tinggi.

“Kami baru sahaja bermula. Jika saya memilih yang lebih murah, bilakah Indonesia akan memiliki jipnya sendiri?” katanya.

Indonesia kini mengeluarkan Maung, iaitu kenderaan taktikal yang dibangunkan di dalam negara dan dihasilkan oleh syarikat pertahanan milik kerajaan, PT Pindad, untuk digunakan oleh TNI dan Polri.

Varian khas Maung, iaitu MV3 Garuda Limousine, telah digunakan sebagai kenderaan rasmi Presiden sejak Prabowo mengangkat sumpah jawatan pada Oktober 2024. – Bernama