NEW DELHI: Perdana Menteri India Narendra Modi pada Jumaat melancarkan perkhidmatan kereta api berkuasa hidrogen pertama negara itu, lapor Xinhua.
Kereta api itu akan beroperasi di laluan Jind-Sonipat sepanjang 89 kilometer (km) di negeri Haryana, utara India.
Ini merupakan kali pertama teknologi sel bahan api hidrogen yang dibangunkan di India digunakan dalam operasi kereta api negara itu.

Dengan perkembangan itu, India kini menjadi antara beberapa negara di dunia, termasuk China, Jerman, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) yang mengendalikan kereta api berkuasa hidrogen.
Menurut pegawai, komponen utama sistem itu ialah Sel Bahan Api Membran Pertukaran Proton (PEMFC) berkapasiti 1,200 kilowatt yang menjana tenaga elektrik menerusi tindak balas kimia antara hidrogen dan oksigen.
Kereta api berkuasa hidrogen dengan 10 gerabak itu diluluskan untuk beroperasi pada kelajuan maksimum 75 kilometer sejam (km/j), manakala kelajuan reka bentuknya ialah 110 km/j.
Kereta api itu mampu membawa kira-kira 2,600 penumpang. – Bernama




