KRIAN: Program Semarak Kemerdekaan peringkat Bahagian Betong 2026 menjadi platform penting dalam menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum serta menghargai pengorbanan generasi terdahulu yang berjuang demi kemerdekaan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata program anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Betong dengan kerjasama komuniti 11 rumah panjang di Krian Tengah itu berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh semangat kemerdekaan.
“Program seperti ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan kemerdekaan, malah menjadi medan untuk mengingati dan menzahirkan penghargaan kepada pemimpin serta pejuang terdahulu yang berusaha mendapatkan kemerdekaan secara aman dan bijaksana,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Semarak Kemerdekaan peringkat Bahagian Betong 2026 yang berlangsung di Dewan Komuniti Kaki Wong, Krian semalam.
Friday berkata hasil perjuangan generasi terdahulu membolehkan rakyat hari ini menikmati keamanan, kestabilan politik serta keharmonian antara pelbagai kaum yang menjadi asas kepada pembangunan dan kemajuan Sarawak.
Beliau turut memuji inisiatif UKAS Bahagian Betong kerana berjaya menganjurkan program yang mampu menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
Menurutnya, nilai perpaduan dan keharmonian yang dinikmati ketika ini perlu terus dipelihara bagi memastikan Sarawak kekal aman, makmur dan bersatu padu sejajar aspirasi mencapai Sarawak Maju Makmur menjelang 2030.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan mewarna warga emas, pertandingan tarik tali bagi kategori lelaki dan wanita serta pertandingan karaoke lagu-lagu patriotik kanak-kanak.
Turut hadir, Pegawai UKAS Bahagian Betong Tony Malang, Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie, Penghulu Josephine Entira, Penghulu Anyom, Penghulu Dickson Chendang, ketua-ketua jabatan, Ahli Majlis Daerah Saratok, tuai-tuai rumah, pelajar sekolah serta penduduk daripada 11 rumah panjang di Krian Tengah.
Oleh Adi Safarman




