Masjid baharu Kampung Melayu Dit bernilai RM4.8 juta dijangka siap 18 bulan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

DEBAK: Masjid Kampung Melayu Dit di sini bakal berwajah baharu menerusi pembinaan sebuah masjid moden bernilai RM4.8 juta yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan bagi menggantikan bangunan sedia ada yang telah uzur dan tidak lagi mampu menampung keperluan penduduk setempat.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, projek pembinaan masjid baharu itu merupakan satu usaha penting bagi menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa serta kondusif kepada masyarakat Islam di kawasan berkenaan.

 DATUK Dr Mohammad Razi Sitam menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Kampung Melayu Dit hari ini. Foto: ADUN Saribas

Beliau berkata, masjid baharu itu bukan sahaja akan menjadi tempat menunaikan ibadah, malah berfungsi sebagai pusat pelbagai aktiviti kemasyarakatan, pendidikan dan pembangunan ummah.

“Alhamdulillah, dengan siapnya bangunan masjid baharu ini nanti, ia akan memudahkan pengurusan masjid serta membolehkan pelbagai aktiviti dijalankan selain daripada aktiviti ibadah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Masjid Kampung Melayu Dit di sini, hari ini.

Dr Mohammad Razi turut menzahirkan harapan agar segala urusan pembinaan masjid itu dipermudahkan dan berjalan lancar sehingga siap mengikut jadual yang ditetapkan.

“Saya berharap perjalanan dan urusan pembinaan masjid baharu ini nanti berjalan dengan jayanya demi manfaat seluruh masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata, masjid memainkan peranan penting sebagai platform penyatuan umat Islam serta menjadi institusi yang memperkukuhkan perpaduan rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan.

LAKARAN Masjid Kampung Melayu Dit apabila ia siap kelak. Foto: ADUN Saribas

Sehubungan itu, Dr Mohammad Razi menyeru umat Islam agar terus memperkukuh dan memelihara perpaduan, selain sentiasa menjaga sensitiviti dalam kalangan masyarakat berbilang kaum bagi memastikan keharmonian negeri terus terpelihara.

Menurutnya, umat Islam juga perlu menghayati ajaran al-Quran dan hadis sebagai panduan kehidupan, di samping memelihara kesucian agama Islam dalam setiap aspek kehidupan.

Beliau turut mengajak umat Islam di Sarawak supaya berganding bahu bersama masyarakat daripada pelbagai etnik untuk membangunkan negeri ini selaras dengan aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang membawa idea-idea baharu ke arah kemajuan Bumi Kenyalang.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Tadbir Khas Jabatan Agama Islam Sarawak, Jamalie Busri, Temenggong Piee Alwi, Pemanca Shafiee Junaidi, wakil Jabatan Agama Islam Betong, wakil Pejabat Daerah Kecil Debak serta ketua-ketua masyarakat sekitar Debak.

Oleh Adi Safarman