Kebakaran hutan di Kanada mungkin paksa final Piala Dunia 2026 dijadual semula – Laporan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MOSCOW: Perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Sepanyol dan Argentina mungkin dijadualkan semula berikutan kebakaran hutan berskala besar di Kanada, menurut Sputnik/RIA Novosti yang memetik laporan akhbar sukan Argentina, Ole pada Jumaat.

Perlawanan itu dijadual berlangsung di New York pada 19 Julai ini. Pada Khamis, perlawanan musim biasa Major League Soccer (MLS) antara Chicago Fire dan Vancouver Whitecaps ditangguhkan ke 6 Oktober berikutan pencemaran udara yang teruk di Chicago.

Pihak berkuasa Chicago turut menutup beberapa ruang awam dan membatalkan acara luar yang tidak dapat dipindahkan ke dalam bangunan. Washington pula mengeluarkan amaran kualiti udara tahap ‘merah’ susulan kebakaran hutan di Kanada.

PEMANDANGAN latar langit kawasan Midtown di Bandar Raya New York kelihatan diselubungi asap kebakaran hutan yang dilihat dari Pelabuhan New York, Amerika Syarikat, 16 Julai 2026. – Foto agensi.

Koresponden RIA Novosti sebelum ini melaporkan bahawa asap daripada kebakaran itu merebak ke Amerika Syarikat (AS), menyelubungi kawasan New York dan Boston.

Menurut Ole, kemungkinan perlawanan akhir Piala Dunia itu ditangguhkan masih rendah, namun kemungkinan itu tidak boleh diketepikan.

Sekiranya pencemaran udara mencecah tahap yang dianggap berbahaya kepada kesihatan, FIFA dilaporkan mempunyai protokol untuk menilai kemungkinan perubahan terhadap jadual perlawanan itu.

Penganjur kejohanan berharap asap berkenaan akan beransur hilang dan tidak menjejaskan perlawanan akhir, menurut Ole.

Menurut Pusat Kebakaran Hutan Antara Agensi Kanada (CIFFC), sebanyak 876 kebakaran hutan masih aktif di seluruh negara itu ketika ini, dengan 202 daripadanya diklasifikasikan sebagai tidak terkawal.

Lebih 3,500 kebakaran hutan berlaku di Kanada sejak awal 2026. – Bernama