
SALAH seorang pemain terbaik dunia ketika ini, Lamine Yamal yang berusia 19 tahun sedang bersiap sedia menghadapi final Piala Dunia pertamanya bersama Sepanyol.
Pada Isnin, sebelum Sepanyol menentang Perancis dalam separuh akhir Piala Dunia, Yamal yang ceria dan memakai rantai besar berkilauan tampil di hadapan media.
Kebetulan, sehari sebelum perlawanan penting itu juga merupakan ulang tahunnya yang ke-19 dan sudah tentu soalan paling jelas ditanya ialah:
“Apakah hadiah hari jadi yang paling anda inginkan, Lamine?”
“Saya belum menerima banyak hadiah lagi. Hadiah terbaik ialah kemenangan pada Selasa dan perjalanan ke New York,” katanya.
Dalam cuaca panas terik di Atlanta dan selepas 90 minit aksi penuh kawalan, Sepanyol menewaskan Perancis sekali gus memenuhi impian hari jadinya untuk mara ke final Piala Dunia.
Sebelum Yamal bersedia menghadapi final utama keduanya, berikut segala yang perlu diketahui mengenai latar belakang peribadi dan kerjaya cemerlangnya.
Akar pelbagai budaya
Yamal dilahirkan di Esplugues de Llobregat, Barcelona, Sepanyol. Bapanya, Mounir Nasraoui, berketurunan Maghribi manakala ibunya, Sheila Ebana, berketurunan Guinea Khatulistiwa.
Nama penuhnya ialah Lamine Yamal Nasraoui Ebana, namun beliau menggunakan nama ringkas Lamine Yamal ketika mewakili Sepanyol dan Barcelona.
Dalam bola sepak Sepanyol, penggunaan nama pertama adalah perkara biasa, seperti rakan sepasukannya Pedri serta legenda terdahulu Xavi dan Iniesta.
Asal usul nama Yamal
“Lamine” ialah nama yang lazim dalam budaya Afrika Barat dan mempunyai kaitan Arab. Ia membawa maksud setia atau boleh dipercayai.
“Yamal” pula merupakan variasi kepada nama Arab “Jamal” yang bermaksud kecantikan, keanggunan atau daya tarikan.
Sebagai seorang Muslim yang mengamalkan ajaran agama, Yamal sering meraikan gol dengan melakukan sajdah, iaitu sujud kepada Allah seperti yang dilakukan dalam solat harian.

Sokongan kepada Palestin
Di luar padang, Yamal turut mendapat sokongan ramai kerana menunjukkan solidariti terhadap Palestin.
Awal tahun ini, ketika perarakan kejayaan Barcelona, beliau dilihat mengibarkan bendera Palestin dari atas bas terbuka dan disambut sorakan penyokong.
Bintang yang sedang bersinar
Produk akademi terkenal La Masia, Yamal menembusi skuad utama Barcelona pada musim 2023-24.
Musim berikutnya, beliau memainkan peranan besar membantu Barcelona meraih treble domestik dengan memenangi La Liga, Copa del Rey dan Supercopa de Espana.
Kelajuan, gelecek dan hantaran tepat menjadikan gaya permainannya sering dibandingkan dengan Lionel Messi dan Neymar.

Euro 2024: Pentas kemunculan sebenar
Yamal mula mencuri perhatian dunia ketika membantu Sepanyol menjuarai Euro 2024.
Sebagai pemain termuda dalam kejohanan itu, beliau mencatat empat bantuan gol dan satu gol menakjubkan menentang Perancis di separuh akhir.
Prestasi tersebut membolehkannya dipilih sebagai Pemain Muda Terbaik Kejohanan oleh pemerhati teknikal UEFA.
Piala Dunia 2026: Kisah diteruskan.
Kecederaan sebelum kejohanan menjejaskan prestasinya pada peringkat kumpulan di Amerika Utara.
Walaupun baru menjaringkan satu gol, sumbangannya tetap besar.
Yamal menjadi pencipta peluang utama Sepanyol dan turut memenangi sepakan penalti dalam separuh akhir menentang Perancis.
Beliau boleh berbangga kerana membantu menyingkirkan bintang besar seperti Kylian Mbappe dan Cristiano Ronaldo.
Setelah Argentina menewaskan England, Yamal kini berpeluang bertemu idolanya, Lionel Messi, di final.
Yamal dijangka menjadi pemain ketiga termuda beraksi dalam final Piala Dunia selepas Pele dan Giuseppe Bergomi.
Jika Sepanyol muncul juara, beliau akan melengkapkan gelaran berganda Euro dan Piala Dunia pada usia hanya 19 tahun.
Secara statistik, Sepanyol belum pernah tewas apabila Yamal bermain. Beliau juga memulakan 12 perlawanan gabungan Piala Dunia dan Euro dan memenangi kesemuanya – rekod kadar kemenangan 100 peratus terbaik bagi mana-mana pemain Eropah dalam dua kejohanan tersebut. – Agensi



