Jaga perpaduan, kekalkan kestabilan politik agar Sarawak terus maju – Abang Johari

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
UCAPAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Daro, hari ini.

DARO: Politik yang stabil dan perpaduan rakyat menjadi asas utama kejayaan Sarawak melaksanakan pembangunan secara terancang, sekali gus membolehkan negeri ini terus mencatat kemajuan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kestabilan yang dinikmati Sarawak hari ini membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan negeri, berbanding jika berdepan ketidaktentuan politik.

“Pencapaian ini sebenarnya milik rakyat Sarawak. Saya cuma tukang buat, tetapi yang memberikan input dan sumbangan ialah rakyat sendiri.

“Apabila kita aman, kita dapat memikirkan apa yang perlu dibangunkan. Kalau kita tidak aman dan politik kucar-kacir, masa kita terbuang. Kita tidak dapat memberi tumpuan kepada bagaimana hendak mengubah kehidupan rakyat dan melaksanakan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Daro, hari ini.

Menurut beliau, perpaduan yang terus dipelihara oleh rakyat pelbagai kaum membolehkan Sarawak bergerak lebih pantas melaksanakan pelbagai dasar walaupun dunia kini berdepan ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim, krisis tenaga dan cabaran ekonomi global.

Katanya, kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi masa hadapan melalui tenaga hidrogen, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan (AI), teknologi satelit dan perdagangan karbon bagi memastikan Sarawak terus kekal berdaya saing.

“Politik kita mesti ada arah untuk membangunkan masa depan. Bukan politik menentukan arah, tetapi politik ada arah untuk kita membangunkan masa depan kita,” katanya.

Abang Johari berkata, kekuatan ekonomi negeri turut membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat termasuk pendidikan tinggi percuma untuk anak Sarawak, pembinaan rumah mampu milik, peluasan bekalan elektrik ke kawasan luar bandar serta pelaksanaan Grid Air Sarawak.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak juga terus memperkukuh jaringan infrastruktur melalui pembinaan jalan raya dan jambatan baharu yang menghubungkan kawasan luar bandar dengan pusat pertumbuhan ekonomi, sekali gus merancakkan aktiviti perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

Dalam bidang teknologi, katanya, Sarawak turut membangunkan satelit pertamanya, CubeSat, bagi memperkukuh penggunaan data dalam perancangan pembangunan, selain memperluaskan penggunaan AI sebagai sebahagian daripada transformasi digital negeri.

Tambahnya, usaha itu turut disokong dengan penubuhan syarikat penerbangan AirBorneo yang dijangka meningkatkan kesalinghubungan, merancakkan sektor pelancongan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.

“Kalau Malaysia mahu maju, Sarawak mesti menjadi nadi pembangunan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat terus mempertahankan perpaduan dan kestabilan politik agar segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar demi memastikan Sarawak terus muncul sebagai negeri maju yang menjadi contoh kepada wilayah lain di Malaysia.