AIM25 perkenal dua kategori baharu, geran DKK bertambah kepada RM950,000

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
MENTERI Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (tengah) bergambar bersama trofi AIM25 pada Majlis Sidang Media Pelancaran Anugerah Industri Muzik AIM25 semalam. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) yang dijadualkan berlangsung pada 26 September depan di Sarawak, bakal menyaksikan dua kategori baharu,  iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik selain pertambahan peruntukan menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK).

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata untuk edisi kali ini, DKK yang diuruskan oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd itu meningkatkan peruntukan sebanyak RM250,000.

“Peningkatan peruntukan itu menjadikan jumlah keseluruhan RM950,000, berbanding RM700,000 pada edisi terdahulu, mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf kecemerlangan seni, menggalakkan kreativiti dan inovasi,” katanya pada sidang media AIM25, di Kuala Lumpur semalam, yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

KETUA Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah menyampaikan ucapan pada Majlis Sidang Media Pelancaran Anugerah Industri Muzik AIM25 semalam. Foto BERNAMA

Abdul Halim berkata pada edisi kali ini, pemenang bagi 15 kategori akan menerima geran DKK sebanyak RM50,000 masing-masing, sementara pemenang kategori Album Terbaik akan membawa pulang geran berjumlah RM200,000.

“Ini merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan besar para penggiat industri muzik dalam memperkaya khazanah seni dan budaya negara,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) Rosmin Hashim yang turut hadir pada sidang media tersebut, berkata buat julung kali AIM diadakan di Borneo, iaitu bertempat di Borneo Convention Centre Kuching (BCKK).

“Penganjuran pertama di Borneo ini melambangkan komitmen RIM memperluas pengiktirafan terhadap bakat di seluruh Malaysia, di samping mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai bahagian penting dalam ekosistem muzik negara.

“Kami percaya industri muzik Malaysia akan terus berkembang apabila setiap wilayah diberikan peluang untuk memartabatkan seni muzik mereka. Sebagai anugerah yang sentiasa mencerminkan perkembangan industri, kami mahu memastikan piawaian AIM terus relevan dengan kepelbagaian budaya, kreativiti, dan ekspresi muzik Malaysia,” katanya.

PENGERUSI Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Jawatankuasa Penganjur AIM25, Rosmin Hashim menyampaikan ucapan pada Majlis Sidang Media Pelancaran Anugerah Industri Muzik AIM25 semalam. Foto BERNAMA

Mengulas dua kategori baharu tersebut, beliau berkata Kategori Lagu Borneo Terbaik diperkenalkan sebagai pengiktirafan kepada karya-karya bermutu yang memartabatkan bahasa, tradisi, dan identiti muzik Sabah dan Sarawak.

“Lagu Perayaan Terbaik pula bagi mengiktiraf karya-karya muzik yang menyatukan pelbagai perayaan di Malaysia serta mencerminkan nilai perpaduan, keharmonian dan kepelbagaian budaya kita,” katanya.

Secara keseluruhan sebanyak 33 kategori dipertandingkan kali ini, yang juga merupakan edisi jubli perak anugerah itu.

Kategori utama AIM25 termasuk Artis Baharu Terbaik, Vokal Lelaki Terbaik, Vokal Wanita Terbaik, Lagu Tempatan bahasa Inggeris Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Etnik Terbaik dan Lagu Terbaik Tahun Ini, dengan TVS sebagai penyiar rasmi dan rakan penganjur.

PENGERUSI Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Jawatankuasa Penganjur AIM25, Rosmin Hashim ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Anugerah Industri Muzik AIM25 semalam. Foto BERNAMA

AIM25 turut disokong oleh geran RM1 juta daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak (MTCP) yang menegaskan komitmen Sarawak dalam memperkukuh industri kreatif Malaysia serta meletakkan negeri itu sebagai destinasi utama seni, budaya dan hiburan.

AIM25 terbuka kepada lagu atau album dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan India yang dikeluarkan di Malaysia dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2025. 

Seperti edisi terdahulu, penilaian akan dilakukan oleh panel juri terdiri daripada penggiat  industri muzik dan pakar daripada pelbagai disiplin, diketuai komposer dan penyanyi Ajai selaku ketua juri.

Lima calon akhir AIM25 dijangka diumumkan pada September ini sebelum majlis penyampaian anugerah berlangsung, manakala Anugerah Sri Wirama pula akan diputuskan oleh Ahli Majlis RIM.

Penyerahan penamaan bagi AIM25 dibuka bermula  hari ini hingga 6 Ogos depan. Borang penamaan berkaitan boleh dilengkapkan dan diserahkan di https://aim1.org.my. – Bernama