Polis Kuching tahan lelaki disyaki curi motosikal, pecah masuk bangunan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Kegiatan jenayah seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun berakhir selepas ditahan polis kerana disyaki mencuri sebuah motosikal serta terlibat dalam satu lagi kes pecah masuk bangunan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek diberkas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dalam satu operasi di Jalan Intan pada 15 Julai lalu.

Beliau berkata, dalam operasi itu, polis merampas sebuah motosikal Honda yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, sebuah motosikal jenama SYM, tiga anak kunci motosikal, sebuah topi keledar berwarna biru serta lima papan telur yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan.

Suspek ditahan bersama motosikal curi.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah, manakala semakan rekod jenayah lampau menunjukkan suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kes curi motosikal disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, kes pecah masuk bangunan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

POLIS turut merampas beberapa kunci motosikal serta barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayahnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau berkata, kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu Polis Diraja Malaysia membanteras jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Kuching.

Oleh Connie Chieng

Empat buruh positif dadah ditahan di Lawas

TANGKAPAN DADAH….suspek yang positif dadah ditahan untuk tindakan lanjut. Foto IPD Lawas LAWAS: Sepasukan polis menahan tiga lelaki tempatan berusia