KPDN siasat J&T Express susulan aduan francais – Chong Chieng Jen

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

CHONG Chieng Jen mengadakan pertemuan dengan pegawai KPDN bagi membincangkan aduan francaisi J&T Express yang mendakwa dikenakan penalti secara unilateral oleh pemberi francais.

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memulakan siasatan terhadap J&T Express susulan aduan sekumpulan francais yang mendakwa dikenakan penalti tidak adil dan tidak munasabah oleh pemberi francais.

Chong berkata beliau mengadakan pertemuan dengan pegawai kementerian hari ini bagi membincangkan aduan yang dikemukakan oleh francaisi tempatan J&T Express, yang mendakwa dikenakan apa yang disifatkan sebagai “penalti bersifat pemangsa” secara unilateral oleh pemberi francais.

Menurut beliau, J&T Express beroperasi menerusi sistem francais dengan pemberi francais merupakan sebuah syarikat milik asing, manakala francais terdiri daripada rakyat Sarawak dan Malaysia yang dilantik untuk mengendalikan perkhidmatan penghantaran bungkusan di Sabah dan Sarawak bagi pihak syarikat berdasarkan kadar bayaran yang dipersetujui. Kebanyakan mereka dilantik pada 2023 atau 2024.

Beliau berkata kumpulan francaisi berkenaan menemuinya kira-kira dua minggu lalu bagi memaklumkan bahawa pemberi francais berulang kali mengenakan pelbagai bentuk penalti, termasuk ganti rugi ditetapkan (liquidated damages), secara sebelah pihak.

“Mereka berpendapat penalti tersebut bersifat menindas dan mengeksploitasi. Francaisi sebelum ini telah cuba berunding dengan pemberi francais serta membantah pengenaan penalti secara unilateral, namun usaha itu tidak berhasil,” katanya.

Chong berkata semua perjanjian francais di Malaysia tertakluk di bawah Akta Francais 1998, yang memberikan kuasa kepada KPDN untuk memastikan setiap urusan francais dilaksanakan secara adil di samping melindungi kepentingan francaisi.

Beliau berkata susulan soalan yang dikemukakannya di Parlimen berhubung perkara itu, beliau dimaklumkan bahawa KPDN telah mengambil maklum mengenai aduan tersebut dan memulakan siasatan terhadap pemberi francais. Pegawai kementerian juga akan menghubungi francaisi yang terlibat bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan eksploitasi itu.

“Kita mengalu-alukan pelaburan asing di negara ini, namun pada masa yang sama kepentingan usahawan dan perniagaan tempatan perlu dipelihara. Saya berterima kasih kepada kementerian kerana bertindak pantas terhadap aduan yang dikemukakan oleh francaisi tempatan,” katanya.

Beliau berharap siasatan itu dapat memastikan amalan perniagaan francais dilaksanakan secara adil, sekali gus melindungi hak serta kepentingan usahawan tempatan.

Oleh Connie Chieng