Klik pautan tempahan kek, wanita di Miri rugi RM1.3 juta

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
GAMBAR hiasan. Foto olahan AI

MIRI: Seorang wanita tempatan berusia 43 tahun mengalami kerugian sebanyak RM1.3 juta selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan siber menerusi pautan tempahan kek yang diiklankan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohamad Farhan Lee Abdullah mengesahkan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Miri menerima laporan berhubung kes kehilangan wang dalam akaun pada 15 Julai lalu.

Menurut polis, mangsa yang merupakan warga tempatan di daerah ini telah melihat iklan jualan kek secara dalam talian sebelum menekan pautan yang disediakan untuk membuat pesanan serta melihat menu.

Bagaimanapun, sejurus selepas menekan pautan tersebut, skrin telefon bimbit mangsa menjadi gelap dan tidak lagi dapat berfungsi.

Mangsa kemudian membuat semakan dengan pihak bank kira-kira 10.00 pagi pada 15 Julai dan mendapati wang daripada dua akaun bank milik syarikatnya telah dipindahkan tanpa pengetahuan.

Siasatan awal mendapati sebanyak 19 transaksi telah dilakukan ke 15 akaun bank berlainan pada 14 Julai, melibatkan jumlah keseluruhan RM1,389,132.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Tasman bin Hukman di talian 014-8618690.

Sementara itu, polis menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap jenayah phishing yang semakin berleluasa, khususnya melalui pautan palsu yang disebarkan di media sosial.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menekan pautan yang mencurigakan, hanya memuat turun aplikasi daripada platform rasmi serta tidak berkongsi kata laluan, nombor PIN atau kod OTP dengan mana-mana pihak.

Mangsa penipuan siber yang baru membuat transaksi kewangan disaran segera menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Selain itu, orang ramai juga digalakkan membuat semakan nombor telefon dan akaun bank yang mencurigakan menerusi portal Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.