
ATLANTA: Wira kemenangan Argentina pada separuh akhir Piala Dunia, Lautaro Martinez, mengakui beliau telah mengimpikan untuk menjaringkan gol kemenangan yang membawa pasukannya ke pentas final selepas menewaskan England 2-1 pada awal pagi tadi.
“Saya memang mengimpikannya. Saya beritahu Alexis (Mac Allister) bahawa saya akan menjaringkan gol.
“Saya juga berkata kepada Facundo Medina di bangku simpanan bahawa saya akan masuk dan menjaringkan gol,” kata Martinez selepas muncul wira Argentina di Atlanta.
Juara bertahan itu ketinggalan 1-0 di Stadium Mercedes-Benz apabila penyerang Inter Milan berusia 28 tahun itu dimasukkan pada minit ke-81 bagi menggantikan bek kiri Nicolas Tagliafico.
Lionel Messi kemudian mencipta peluang kepada Enzo Fernandez untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-85 sebelum kapten Argentina itu menghantar hantaran lintang yang disudahkan Martinez menerusi tandukan pada minit kedua masa kecederaan.
“Sejak ayah saya membelikan saya sepasang but bola sepak yang pertama, saya sentiasa bermimpi untuk menjaringkan gol seperti ini,” kata Martinez dalam nada penuh emosi.
Selepas meninggalkan bilik persalinan, Martinez berkata beliau baru sahaja menghubungi ibunya yang ketika itu sedang bekerja.
Martinez pernah kehilangan tempat dalam kesebelasan utama Argentina di bawah Lionel Scaloni ketika kempen mereka menjuarai Piala Dunia 2022.
Pada edisi kali ini, beliau memulakan ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan dan menjaringkan gol ketika kemenangan 3-1 ke atas Jordan, namun dikeluarkan dalam kemenangan tipis ke atas Cape Verde pada pusingan 32 terbaik dan tidak lagi diturunkan sebagai kesebelasan utama selepas itu.
Bagaimanapun, beliau masuk sebagai pemain gantian untuk menjaringkan gol ketika kemenangan 3-1 selepas masa tambahan ke atas Switzerland pada suku akhir sebelum sekali lagi muncul wira menentang England.
Argentina kini akan berdepan Sepanyol pada aksi final di New Jersey, 3.00 pagi Isnin (waktu Malaysia).
“Kami akan menentang sebuah pasukan hebat yang tidak pernah tewas dalam 38 perlawanan dan memiliki ramai pemain berkualiti.
“Sekarang kami perlu berehat, tetapi pada masa sama menikmati detik ini kerana apa yang kami lakukan bukan sesuatu yang mudah, kembali ke final sebagai juara bertahan tiga setengah tahun selepas memenangi trofi itu,” katanya.
Kekalahan terakhir Sepanyol ialah 1-0 kepada Colombia dalam perlawanan persahabatan pada Mac 2024.
Kedua-dua pasukan sepatutnya bertemu di Qatar pada Mac dalam saingan Finalissima, iaitu perlawanan yang menemukan juara Eropah dengan juara Copa America.
Bagaimanapun, perlawanan itu ditangguhkan susulan perang di Asia Barat yang tercetus selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Satu-satunya pertemuan Sepanyol dan Argentina di Piala Dunia sebelum ini ialah pada edisi 1966, apabila Argentina mencatat kemenangan 2-1 dalam aksi peringkat kumpulan di Villa Park, Birmingham. – AFP




