600 pelajar Batu Kawa sertai bengkel persediaan SPM 2026

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
BENGKEL… Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyampaikan ucapan pada Bengkel Persediaan Percuma SPM 2026 di Batu Kawa.

BATU KAWA: Seramai 600 pelajar daripada tiga sekolah menengah di kawasan Batu Kawa menyertai Bengkel Persediaan Percuma SPM 2026 bagi membuat persiapan awal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

Program selama dua hari itu dianjurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, melibatkan pelajar dari SM Min Lit Batu Kawa, SMK Batu Kawa dan SMK Jalan Arang, selain anak jati Batu Kawa yang kini bersekolah di luar kawasan berkenaan.

Bengkel yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho, Batu Kawa itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknik pembelajaran berkesan, strategi menjawab soalan peperiksaan serta persediaan menghadapi SPM.

Dr Sim berkata, SPM merupakan antara kelayakan akademik penting yang memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju pelajar, sama ada melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi atau memasuki alam pekerjaan.

Beliau turut menggalakkan calon SPM 2026 supaya terus memberikan tumpuan terhadap pembelajaran dan berusaha mencapai keputusan terbaik.

“Pelajar Sarawak telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam peperiksaan SPM sejak sekian lama, termasuk pelajar dari kawasan Batu Kawa,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Sarawak sentiasa memberikan keutamaan kepada pembangunan pendidikan dan bakat melalui pelbagai bentuk bantuan, termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma, biasiswa, bantuan komputer riba dan elaun sara hidup.

Beliau berkata, bantuan berkenaan dapat memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada pelajar untuk mengejar impian akademik mereka.

Katanya, pembangunan Sarawak pada masa depan bergantung pada kualiti pendidikan serta keupayaan melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran tinggi.

Oleh Afiq Sallehi