KUALA LUMPUR: Seramai 3,500 usahawan disasar memperoleh manfaat peruntukan berjumlah RM3.11 juta daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi Platform Digital Warongku.
Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, daripada jumlah tersebut seramai 2,000 penjaja dan peniaga kecil telah menyertai platform Warongku sebagai ‘e-merchant’ manakala baki 1,500 lagi sedang dilaksanakan.
Warongku adalah Program Pembangunan Penjaja dan Peniaga Melalui Smart Digital Terminal anjuran MEDAC menerusi agensinya SME Corp Malaysia. Ia merupakan kesinambungan kepada projek ‘e-runner’ iaitu ‘Warong Rider’.
Wan Junaidi berkata, Warongku adalah salah satu inisiatif pendigitalan seiring dengan hasrat kerajaan dalam menggalakkan perniagaan secara dalam talian (e-dagang) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan peruntukan dana berjumlah RM700 juta.
“Di bawah program Warongku, MEDAC menerusi SME Corp Malaysia berusaha untuk membantu golongan penjaja, peniaga kecil dan usahawan dari sektor tidak formal untuk mengadaptasi teknologi digital, seterusnya memasarkan produk secara dalam talian.
“Justeru, Warongku dengan kerjasama platform pesanan dan penghantaran makanan secara dalam talian yang dibangunkan Idea Creative Technology Sdn Bhd (ICTSB) dilihat mampu merealisasikan hasrat kementerian ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran platfrom tersebut di sini, semalam.
Menurutnya, platform Warongku turut mendapat sokongan penuh dan kerjasama daripada Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) sebagai rakan strategik program tersebut selain penglibatan beberapa rakan strategik lain iaitu Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad (KOPENAS), Celcom Axiata Bhd, Pos Malaysia Bhd, Kiple Pay Sdn Bhd dan TNG Digital Sdn Bhd (Touch ‘N’ Go).
Program Warongku direka dengan objektif untuk meningkat dan melonjakkan pendapatan usahawan mikro dan usahawan informal serta penjaja dan peniaga kecil melalui jualan dalam talian dan memberi kesedaran serta menggalakkan penggunaan aplikasi digital dalam kalangan mereka untuk pemasaran yang lebih luas dan transaksi yang lebih bersistematik.
Selain itu, katanya, Warongku turut menawarkan latihan atau kursus kepada usahawan yang kurang pendedahan teknikal dan literasi pemasaran secara digital.
Sehingga kini, seramai 70 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah dipilih untuk menyertai latihan di bawah program tersebut dengan tujuan memberi pendedahan penggunaan platform Warongku yang berlangsung pada 25 dan 26 Mac di Kuching, Sarawak.
Wan Junaidi berharap agar semua penjaja dan peniaga kecil di seluruh Malaysia dapat mengambil peluang mendaftarkan perniagaan mereka masing-masing secara digital dalam platform Warongku ini melalui pautan www.warongku.my– Bernama