RON95, diesel tanpa subsidi naik susulan risiko geopolitik Asia Barat

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
HARGA runcit RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi meningkat bagi tempoh 16 hingga 22 Julai susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menjejaskan pasaran minyak dunia. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing naik lima sen dan 10 sen seliter bagi tempoh 16 hingga 22 Julai ini susulan peningkatan risiko geopolitik di Asia Barat.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM3.42 seliter berbanding RM3.37 sebelum ini, manakala diesel tanpa subsidi meningkat kepada RM4.07 seliter daripada RM3.97 seliter.

Harga runcit RON97 pula kekal pada RM4 seliter.

MOF memaklumkan kenaikan itu berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) dan dipengaruhi pergerakan pasaran minyak dunia pada minggu terdahulu.

“Serangan baharu Amerika Syarikat ke atas Iran serta kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan di Selat Hormuz telah meningkatkan semula premium risiko minyak mentah dan kos penghantaran.

“Harga minyak mentah Brent telah mencecah AS$85 setong, meningkat sekitar 20 peratus dalam tempoh dua minggu. Selagi konflik ini belum mencapai penyelesaian muktamad, harga produk petroleum dijangka terus dibelenggu ketidaktentuan pasaran global,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi ketika ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat menerusi perancangan perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu.

Menurut kementerian itu, langkah berkenaan dapat membantu memanjangkan bekalan negara selain mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.

Sementara itu, harga petroleum bersubsidi dikekalkan, iaitu RON95 di bawah BUDI MADANI (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel BUDI MADANI (BUDI Diesel) RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.

Rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad menerusi BUDI95 dan BUDI Diesel, tertakluk kepada kelayakan serta baki kelayakan bulanan masing-masing.

MOF memaklumkan Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.-Bernama

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berikutan jangkaan pelabur terhadap anggaran awal Keluaran Dalam Negara