
BETONG: Kebakaran membabitkan kawasan kebun kelapa sawit seluas kira-kira 0.40 hektar di Jalan Ladang Lingga, Jalan Tanjung Assam di sini berjaya dikawal oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), namun operasi pemadaman akan disambung semula esok berikutan keadaan tanah gambut yang masih berasap.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.56 petang sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada 3.13 petang dan segera memulakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos sepanjang 300 kaki dengan satu pancutan air daripada jentera bomba.
Operasi berjaya memadam keseluruhan kawasan yang terbakar seluas 0.40 hektar, namun kebakaran di kawasan tanah gambut menyebabkan asap masih keluar dari bawah permukaan tanah dan memerlukan tindakan susulan bagi mengelakkan kebakaran berulang.

Bagi menjamin keselamatan anggota, operasi pemadaman ditangguhkan pada 6.25 petang berikutan keadaan yang semakin gelap dan akan diteruskan pada hari berikutnya.
Menurut JBPM, Komander Operasi turut menghubungi Pegawai Daerah bagi mendapatkan bantuan sebuah jentera pengorek (excavator) untuk membina laluan pemisah api (fire break) serta menyediakan takungan air sebagai sumber bekalan air terbuka bagi memudahkan operasi pemadaman seterusnya.
Operasi diketuai oleh PBK I Abang Muhd Fhazil Abang Abdul Manaf dengan kekuatan lima anggota dari BBP Betong.
Sepanjang operasi, sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) digunakan bagi memastikan operasi berjalan lancar.

JBPM akan meneruskan pemantauan sehingga kawasan berkenaan benar-benar padam dan selamat bagi mengelakkan kebakaran kembali merebak.
Oleh Adi Safarman




