Dua keldai akaun ditahan polis Lundu bantu siasatan kes penipu

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

DUA lelaki tempatan ditahan polis kerana disyaki bertindak sebagai keldai akaun bagi membantu siasatan beberapa kes penipuan dalam talian.

LUNDU: Polis Lundu menahan dua lelaki tempatan yang disyaki bertindak sebagai keldai akaun bagi membantu siasatan beberapa kes penipuan dalam talian menerusi operasi yang dijalankan semalam dan hari ini.

Ketua Polis Daerah Lundu, Supt Sudirman Kram berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an dan 50-an itu diberkas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu hasil siasatan terhadap beberapa kes penipuan yang dilaporkan di daerah lain.

Beliau berkata, suspek yang ditahan semalam dipercayai bertindak sebagai keldai akaun dalam dua kes berasingan membabitkan sindiket yang menyamar sebagai rakan dan kenalan menerusi aplikasi WhatsApp sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM9,700. Laporan polis bagi kedua-dua kes itu masing-masing dibuat di IPD Klang, Selangor dan IPD Brickfields, Kuala Lumpur.

Menurut Sudirman, suspek kedua yang ditahan hari ini pula dipercayai bertindak sebagai keldai akaun dalam kes penipuan pinjaman tidak wujud menerusi aplikasi Facebook yang menyebabkan mangsa kerugian RM5,560. Kes berkenaan dilaporkan di IPD Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyerahkan butiran perbankan, kad ATM atau sebarang instrumen kewangan kepada mana-mana pihak bagi mengelakkan ia disalahgunakan dalam kegiatan penipuan.

Sudirman turut mengingatkan bahawa mana-mana individu yang didapati bertindak atau membantu sebagai keldai akaun boleh didakwa mengikut Seksyen 424C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM150,000, atau kedua-duanya sekali.

Oleh Connie Chieng