Bomba berjaya halang kebakaran merebak ke rumah panjang 24 pintu di Ulu Sebauh

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PASUKAN bomba menjalankan pemeriksaan susulan selepas kebakaran berjaya dipadamkan di sebuah rumah panjang di Jalan Ulu Sebauh, Bintulu.

BINTULU: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menghalang kebakaran daripada merebak ke sebuah rumah panjang 24 pintu yang didiami 160 penghuni di Rumah Jangi Jambai, Jalan Ulu Sebauh di sini, petang tadi.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.59 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu tiba di lokasi pada 5.12 petang.

Setibanya di lokasi, kebakaran didapati melibatkan Pintu No. 4, No. 5 dan No. 6 rumah panjang berkenaan, manakala api sedang marak.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman secara defensif serta melaksanakan ‘fire break’ bagi menghalang kebakaran daripada terus merebak ke pintu-pintu lain.

“Operasi pemadaman dilaksanakan dengan membentangkan dua aliran sepanjang 200 kaki menggunakan tiga nozel sehingga kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan,” katanya.

TINDAKAN pantas anggota bomba berjaya menghalang kebakaran daripada merebak ke rumah panjang 24 pintu di Jalan Ulu Sebauh, Bintulu. Kebakaran melibatkan tiga pintu berjaya dipadamkan tanpa sebarang kehilangan nyawa.

Kebakaran berjaya dikawal pada 5.35 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.50 petang.

Anggaran kemusnahan melibatkan Pintu No. 4 sebanyak 15 peratus, Pintu No. 5 (50 peratus) dan Pintu No. 6 (lima peratus), manakala Pintu No. 7 mengalami kerosakan akibat air ketika operasi pemadaman.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pemeriksaan susulan bagi memastikan tiada lagi sisa kebakaran atau punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.

Oleh Carolyne Utih