Majlis Daerah Bau beri amaran terhadap iklan haram ah long, gesa orang ramai bekerjasama

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ANGGOTA penguat kuasa Majlis Daerah Bau bersama Polis Bau menjalankan Op Vulture bagi menurunkan risalah iklan pinjaman wang haram ah long.

BAU: Majlis Daerah Bau akan terus mengambil tindakan tegas terhadap iklan haram ah long dan memberi amaran bahawa penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi membendung kegiatan tersebut.

Dalam satu temu bual dengan Utusan Sarawak, Setiausaha Majlis Daerah Bau, Ong Chin Ping, berkata lebih 400 poster iklan ah long haram telah diturunkan di seluruh daerah ini sejak awal tahun 2026 menerusi Op Vulture, iaitu satu operasi penguatkuasaan bersama yang dijalankan oleh Majlis Daerah Bau dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, walaupun tiada tangkapan dibuat setakat ini, operasi tersebut telah berjaya mengurangkan dengan ketara penyebaran iklan haram ah long di kawasan awam.

Menurutnya, kerjasama erat antara Majlis Daerah Bau dan Polis Bau menerusi Op Vulture telah berjaya mengurangkan penyebaran iklan haram itu berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Ini merupakan tahun kedua kami bekerjasama dengan pihak polis dalam Op Vulture untuk menurunkan iklan haram serta memberi amaran keras kepada sindiket ah long,” katanya.

PETUGAS Majlis Daerah Bau bersama Polis Bau menurunkan risalah iklan pinjaman wang haram ah long dalam Op Vulture yang dijalankan di sekitar Bau.

Dalam operasi terbaharu yang dijalankan semalam, sebanyak 51 kain rentang haram telah diturunkan di sekitar Bandar Bau, termasuk yang dipasang pada pokok, papan tanda jalan, dinding rumah kedai dan di kawasan perumahan.

Ong berkata Majlis Daerah Bau akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan Polis Bau bagi memastikan keselamatan awam, memelihara ketenteraman serta melindungi kesejahteraan penduduk.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak berurusan atau meminjam wang daripada ah long.

“Berurusan dengan ah long boleh mengakibatkan masalah kewangan dan peribadi yang serius. Sindiket ini sering menggunakan kain rentang, poster serta media sosial untuk memancing mangsa dengan menawarkan pinjaman yang cepat dan mudah. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta melaporkan sebarang iklan atau kegiatan ah long kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat kepada Majlis Daerah Bau sekiranya terlihat individu memasang atau menggantung iklan haram tersebut.

“Dengan kerjasama masyarakat dan agensi penguat kuasa berkaitan, kita mampu memastikan Bau kekal sebagai sebuah daerah yang lebih selamat,” katanya.

Oleh Connie Chieng