
MADRID, Sepanyol: Laungan kegembiraan dan bunyi hon kenderaan bergema di seluruh Madrid apabila rakyat Sepanyol meraikan kejayaan pasukan kebangsaan mereka menewaskan Perancis, sekali gus menghampiri peluang menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua.
“Saya sangat gembira dan amat bangga dengan pasukan ini,” kata Jaime Sanchez, 19, kepada AFP dalam suasana penuh kegembiraan ketika ribuan penyokong membanjiri keluar zon peminat rasmi di tengah Madrid selepas menyaksikan kemenangan 2-0 itu.
“Ramai yang tidak menjangkakan kami mampu melakukannya, tetapi kami berjaya menewaskan Perancis dan kami akan menewaskan sesiapa sahaja yang menanti kami pada final nanti,” kata pelajar berkenaan.
Ribuan penyokong yang mengenakan jersi pasukan Sepanyol memenuhi kawasan pusat bandar Madrid dengan bendera merah dan kuning negara itu disarungkan di bahu atau dilukis pada wajah mereka.
“Hidup Sepanyol!”, “Saya rakyat Sepanyol!” laung mereka sambil merakam detik bersejarah itu menerusi telefon bimbit dan menari mengikut irama lagu popular di stadium.

Penyokong yang tidak berjaya memasuki zon peminat di Dataran Colon memenuhi lorong bas, duduk di kawasan berumput atau di atas tembok sambil cuba mendapatkan pandangan ke arah skrin besar yang menayangkan perlawanan.
Sebahagian lagi memenuhi bar dan restoran yang sesak untuk menyaksikan aksi berkenaan, manakala ada yang mengikuti perkembangan perlawanan dari kawasan jalan raya.
Pertembungan di Arlington, Texas itu dianggap seolah-olah aksi final lebih awal, dengan pemerhati bola sepak menumpukan perhatian terhadap kekuatan serangan Perancis yang dibarisi bintang ternama seperti Kylian Mbappe dan pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembele.
Namun, Sepanyol berjaya menyekat kemaraan Les Bleus apabila sepakan penalti Mikel Oyarzabal dan jaringan Pedro Porro memastikan skuad kendalian Luis de la Fuente melangkah ke final yang akan berlangsung di New Jersey pada Ahad ini menerusi persembahan penuh disiplin dan kawalan permainan yang cemerlang.
“Pemain kelihatan yakin”
Sebelum perlawanan, pelajar berusia 17 tahun, Erika Barea, mengakui barisan serangan Perancis memberikan kebimbangan kepadanya.
“Serangan Perancis sangat menakutkan saya kerana perkara yang paling saya tidak mahu berlaku ialah mereka memenangi perlawanan ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau percaya rekod baik Sepanyol ketika berdepan Perancis dalam beberapa pertemuan terdahulu menjadi sumber keyakinan.
La Roja menyingkirkan Perancis dalam perjalanan mereka menjulang kejuaraan Euro 2024 sebelum menewaskan skuad kendalian Didier Deschamps pada separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA tahun lalu.
Jaime Lopez, 19, seorang pelajar muzik, sebelum ini yakin kekuatan berpasukan Sepanyol mampu mengatasi skuad Perancis yang dipenuhi pemain bintang — dan keyakinannya itu ternyata berasas.
“Secara keseluruhannya, saya fikir mereka adalah pasukan yang baik. Mereka mungkin tidak mempunyai ramai pemain bintang besar, tetapi mereka memiliki sebuah pasukan yang tahu cara bermain dengan berkesan,” katanya kepada AFP.
Prestasi penyerang Sepanyol, Lamine Yamal, yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-19 pada Isnin, turut menjadi perhatian selepas pemain itu tiba di Piala Dunia dalam keadaan masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan.
Namun, pemain muda sensasi itu memainkan peranan penting apabila berjaya mendapatkan sepakan penalti pada separuh masa pertama yang membuka laluan kepada kemenangan Sepanyol.
“Saya fikir dia semakin meningkat. Dia mungkin agak kurang menyerlah sebelum ini, tetapi apabila turun ke padang, terutama dalam perlawanan besar seperti ini, ia memberikan motivasi tambahan dan membangkitkan semangatnya,” kata Celia Vazquez, 50, seorang pentadbir yang menetap di Barcelona.
Mengimbau kemungkinan Sepanyol mengulangi kejayaan menjuarai Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, Sanchez mengenang detik ketika meraikan kemenangan itu bersama keluarganya sewaktu kecil dan berharap dapat mengulangi pengalaman sama.
“Nikmatilah detik ini sepenuhnya kerana pengalaman seperti ini bukan berlaku setiap masa. Jika kami memenangi Piala Dunia ini, saya akan merasainya buat kali kedua dalam hidup,” katanya. – AFP





