Tokyo Disney Resort naikkan kadar maksimum tiket masuk mulai Oktober

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

TOKYO: Pengendali Tokyo Disney Resort pada Selasa mengumumkan bahawa ia akan menaikkan kadar maksimum tiket masuk mulai Oktober, iaitu kenaikan harga pertama dalam tempoh tiga tahun, lapor Kyodo News.

Menurut senarai harga Oriental Land Co. bagi tempoh tiga bulan akan datang, harga tiket sehari untuk dewasa akan meningkat sehingga 1,500 yen (AS$9.30) kepada 12,400 yen.

Harga tiket berbeza mengikut hari dalam seminggu dan musim, dengan kenaikan dikenakan pada hari yang mencatat permintaan tinggi seperti cuti umum dan acara bermusim.

TOKYO Disney Resort. Foto AFP.

Seorang jurucakap syarikat berkata, “Peningkatan kos tenaga kerja dan kos pentadbiran kini menjadi satu beban.”

Oriental Land memperkenalkan sistem harga dinamik pada Mac 2021. Setakat ini, harga tiket dewasa ditetapkan antara 7,900 yen hingga 10,900 yen, namun syarikat itu tidak lagi mendedahkan julat harga penuh, sekali gus memberi petunjuk bahawa harga mungkin meningkat lagi pada masa hadapan.

Jun lalu, syarikat itu turut menaikkan kadar bayaran parkir di pusat peranginan berkenaan sebanyak 1,000 yen, menjadikan kadarnya 4,000 yen bagi kereta penumpang biasa dan 6,000 yen bagi kenderaan besar.

Oriental Land juga merancang untuk menamatkan perkhidmatan pas keutamaan percuma pada 31 Ogos, sekali gus menjadikan pilihan berbayar sebagai satu-satunya cara untuk pengunjung mendapatkan akses keutamaan ke tarikan dan persembahan terpilih. – Bernama