
MIRI: Operasi memadam kebakaran hutan di Taman Negara Niah dipergiatkan hari ini apabila sebuah helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan 15 kali pengeboman air, membabitkan anggaran 19,500 liter air.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, helikopter jenis Mi-171 (M994-04) milik Pangkalan Udara Wilayah Sarawak diterbangkan bagi membantu operasi pemadaman di kawasan kebakaran yang masih belum berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Katanya, operasi penerbangan yang bermula pada 1.41 petang itu diketuai Ahmad Fissol Ismail dengan kekuatan 11 anggota udara, terdiri daripada dua juruterbang, dua jurutera penerbangan, tiga kru udara (AQM) dan empat anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB).

“Sebaik tiba di kawasan operasi, kru terlebih dahulu melaksanakan tinjauan udara bagi menilai keadaan semasa serta tahap kemerebakan api sebelum melaksanakan pengeboman air ke kawasan yang terbakar.
“Air bagi operasi itu diambil dari sungai berhampiran menggunakan sistem ‘bambi bucket’ sebelum digugurkan ke lokasi kebakaran yang dikenal pasti.
“Sepanjang operasi selama kira-kira 3 jam, helikopter berkenaan melaksanakan satu ‘sortie’, membuat tiga pendaratan serta menggunakan sekitar 2,500 liter bahan api,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi udara berakhir pada 5.00 petang, namun operasi pemadaman kebakaran hutan di Taman Negara Niah masih diteruskan oleh pasukan bomba di darat.
Oleh Liong Chai Ling



