Sibu sasar 5,000 pelari sertai Maraton Antarabangsa RSAWIT 2026

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ORANG ramai dipelawa untuk mengambil bahagian dalam Maraton Antarabangsa RSAWIT 2026 yang bakal berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1 dan Fasa 2 pada 22 November ini.

SIBU: Sibu menyasarkan penyertaan 5,000 pelari dari dalam dan luar negara menerusi penganjuran Maraton Antarabangsa RSAWIT 2026 yang bakal berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1 dan Fasa 2 pada 22 November ini.

Timbalan Residen Bahagian Sibu Christopher Ranggau Unting berkata, kejohanan anjuran Rimbunan Sawit Berhad (RSB) dengan kerjasama Sibu Divisional Tourism Task Group (DTTG Sibu) itu dijangka menjadi antara acara sukan terbesar di bahagian ini tahun ini, sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.

Menurut beliau, maraton berkenaan merupakan peningkatan daripada “Separuh Maraton RH 2025 kepada acara maraton antarabangsa berskala penuh, dengan aspek teknikal perlumbaan dikendalikan oleh City Jogger’s Club (CJC) selaku penasihat teknikal.

“Selain menarik lebih ramai pengunjung domestik dan antarabangsa, penganjuran ini turut menggalakkan amalan gaya hidup sihat, mengeratkan penglibatan komuniti serta memberi limpahan ekonomi kepada peniaga dan pihak berkepentingan,” katanya pada sidang media Maraton Antarabangsa RSAWIT 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata, empat kategori dipertandingkan iaitu Maraton Penuh 42 kilometer (km), Separuh Maraton 21km, Larian Kompetitif 10km dan Larian Santai 3km.

Katanya, pelepasan peserta bagi kategori 42km dijadualkan pada 12.00 tengah malam 22 November, diikuti kategori 21km pada 3.00 pagi, 10km pada 5.00 pagi dan Larian Santai 3km pada 6.00 pagi, dengan masa penamat rasmi ditetapkan pada 7.00 pagi.

Dalam pada itu, Christopher berkata, maraton berkenaan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM261,000 membabitkan kategori antarabangsa dan kebangsaan bagi kelas terbuka serta veteran, termasuk hadiah utama RM10,000 untuk juara kategori Maraton Penuh Antarabangsa Terbuka 42km.

Beliau turut memaklumkan setiap peserta berdaftar akan menerima baju rasmi dan nombor bib, manakala mereka yang berjaya menamatkan perlumbaan akan menerima pingat penamat serta sijil elektronik.

Pengambilan kit perlumbaan akan diadakan di Hotel RH pada 20 hingga 21 November, sementara pendaftaran dibuka sehingga 31 Ogos menerusi platform Checkpoint Spot atau BiiB.

Turut hadir Pengurus Besar Rimbunan Sawit Berhad Michael Lau Chai Hing, Pengurus Rimbunan Sawit Berhad Patricia Ong Mee Chiong serta Setiausaha Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian (DTTG) Sibu Maria Nadja Jimmy.

Oleh Tarani Lanting