
KOTA SAMARAHAN: Sebuah van musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Bulatan Puspakom, di sini, petang ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.33 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan digerakkan ke lokasi.
Pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi, Paul Senum, tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.
Setibanya di lokasi, didapati sebuah van sedang marak dan telah terbakar 100 peratus.

Pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya.
Selepas memastikan keadaan selamat serta tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan api, operasi ditamatkan pada 3.52 petang.
Operasi melibatkan tujuh anggota dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS)
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

