Program Saringan Kesihatan Komuniti perkasa amalan hidup sihat

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
MESYUARAT… Antara ahli jawatankuasa yang menghadiri mesyuarat penyelarasan Program Saringan Kesihatan Komuniti 2026 sebagai persediaan menjelang penganjurannya pada 18 Julai ini di Dewan Masyarakat Bintangor. Foto Pusat Khidmat Meradong.

BINTANGOR: Program Saringan Kesihatan Komuniti 2026 dijangka menjadi platform penting dalam memperkasakan amalan gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengesanan awal penyakit menerusi pelbagai perkhidmatan kesihatan yang disediakan.

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya, Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bintangor mengadakan mesyuarat penyelarasan sebagai persediaan akhir menjelang program yang dijadual berlangsung pada 18 Julai ini di Dewan Masyarakat Bintangor.

Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada penyelarasan perjalanan program, pembahagian tugas jawatankuasa, penyediaan kemudahan, penyertaan agensi berkaitan serta aspek logistik bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

Program berkenaan akan menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk ceramah dan pameran kesihatan, saringan kesihatan, pemeriksaan pergigian, ujian Pap Smear dan HPV, pemeriksaan mata (fundoskopi), penilaian keseimbangan serta pendaftaran Program PEKA B40.

Selain mendapatkan pemeriksaan kesihatan, orang ramai turut berpeluang menyertai cabutan bertuah yang disediakan sebagai galakan untuk hadir dan memanfaatkan perkhidmatan yang ditawarkan.

Penganjuran program itu diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi membolehkan sebarang masalah kesihatan dikesan dan dirawat pada peringkat awal.

Program tersebut selaras dengan tema “Sihat Bersama, Komuniti Sejahtera”, yang menekankan kepentingan kerjasama antara agensi dan masyarakat dalam melahirkan komuniti yang lebih sihat, produktif dan sejahtera.

Mesyuarat itu dihadiri Pegawai Kesihatan Bintangor, Dr Dayang Hanifa Abang Hashim Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bintangor, Ley Chee Hua Timbalan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bintangor, Dr Wong Wei Wei Setiausaha Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bintangor, Felix Francis serta Bendahari Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bintangor, Lee Ngin Soon.

Oleh Earl Anek