
PARIS: Satu minit bertafakur akan diadakan sebelum aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Sepanyol sebagai penghormatan kepada mangsa serangan di Nice pada 14 Julai 2016, umum Presiden Perancis, Emmanuel Macron, hari ini.
Kedua-dua pasukan akan bertemu di Dallas pada 3.00 pagi Rabu, bertepatan ulang tahun ke-10 tragedi yang mengorbankan 86 nyawa dan mencederakan lebih 400 orang apabila seorang pemandu trak merempuh orang ramai yang baru selesai menyaksikan pertunjukan bunga api sempena Hari Bastille di bandar Nice, selatan Perancis.
“Sebelum perlawanan Perancis-Sepanyol, satu minit bertafakur akan diadakan bagi memperingati mangsa serangan Nice, 10 tahun selepas tragedi 14 Julai 2016,” kata Macron menerusi hantaran di platform X.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino, kerana memenuhi permintaan Perancis.
“Terima kasih kepada Presiden FIFA kerana menyahut permintaan Perancis dan seluruh rakyat Perancis. Kami tidak akan melupakan mereka,” katanya.
Kumpulan militan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu dan mendakwa penyerang, Mohamed Lahouaiej-Bouhlel, 31, warga Tunisia yang telah dipengaruhi fahaman radikal, sebagai pengikut mereka. Penyerang ditembak mati oleh polis di lokasi kejadian.
Serangan di Nice berlaku hanya beberapa bulan selepas serangan pengganas terburuk dalam sejarah aman Perancis pada 13 November 2015 di Paris dan kawasan sekitarnya yang mengorbankan 130 orang. – AFP



