
MUKAH: Seorang lelaki warga asing ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah dalam serbuan di sebuah tapak projek pembangunan di Kampung Tellian Tengah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditahan sekitar 1.00 tengah hari oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah hasil maklumat risikan.
Menurut beliau, pemeriksaan terhadap suspek menemui satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat sekitar 0.46 gram.
“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah.
Selain itu, katanya, satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selepas suspek didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Suspek yang bekerja sebagai buruh direman selama empat hari sehingga 17 Julai ini bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, IPD Mukah komited membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan menyalurkannya menerusi talian 084-871222 atau ke balai polis berhampiran.
Oleh Shikin Mahmud

