



KUCHING: Polis menahan empat suspek tempatan, termasuk seorang wanita, yang disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan sehingga menyebabkan kecederaan di kawasan tempat letak kereta di Jalan Petanak pada 11 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 27 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Menurut beliau, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda RS150R dan tiga telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah. Semakan rekod jenayah pula mendapati mereka mempunyai rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Kanun Keseksaan dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.
Alexson berkata, seorang daripada suspek turut dikenal pasti masih berstatus dikehendaki.
Kesemua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga mendatangkan kecederaan. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD di talian 082-244444 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Alexson berkata, kerjasama masyarakat amat dihargai dalam membantu Polis Diraja (PDRM) membanteras jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Kuching.
Oleh Connie Chieng

