
KANSAS CITY, Amerika Syarikat: Julian Alvarez menjaringkan gol menakjubkan ketika Argentina mengatasi Switzerland yang beraksi dengan 10 pemain menerusi kemenangan 3-1 selepas masa tambahan sebentar tadi, sekali gus menempah pertemuan menarik menentang seteru lama, England, dalam separuh akhir Piala Dunia.
Penyokong pasukan Amerika Selatan itu mendominasi tempat duduk penonton di Kansas City dan sudah mula meraikan seawal minit ke-10 apabila wira mereka, Lionel Messi, membantu Alexis Mac Allister membuka jaringan.
Switzerland menyamakan kedudukan pada pertengahan babak kedua menerusi Dan Ndoye, namun beberapa minit kemudian mereka menerima tamparan hebat apabila Embolo dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua kerana didakwa melakukan simulasi.
Perlawanan diteruskan ke masa tambahan dan Switzerland berjaya menahan asakan bertali arus Argentina sehingga Alvarez menghasilkan rembatan melengkung menakjubkan ke penjuru atas gawang pada minit ke-112.
Lautaro Martinez kemudian menambah jaringan ketiga pada penghujung perlawanan untuk melengkapkan kemenangan Argentina.
Kemenangan sukar anak buah Lionel Scaloni di Stadium Arrowhead itu menyaksikan empat pasukan terbaik dalam ranking FIFA akan berentap di separuh akhir kejohanan 2026.
Argentina kini tidak tewas dalam 12 perlawanan terakhir Piala Dunia ketika mereka memburu kejuaraan berturut-turut, sesuatu yang kali terakhir dilakukan Brazil pada 1962.

Skuad Amerika Selatan itu mengharungi peringkat kumpulan dengan cemerlang, namun berdepan kesukaran ketika menewaskan pasukan kecil Cape Verde sebelum memerlukan kebangkitan luar biasa ketika menentang Mesir.
Aksi sebentar tadi itu sekali lagi menjadi perlawanan penuh fizikal menentang Switzerland yang memburu penampilan pertama mereka di separuh akhir Piala Dunia.
Argentina membuka tirai jaringan menerusi percubaan tepat pertama mereka apabila pemain tengah Liverpool, Mac Allister, menanduk bola hasil sepakan sudut Messi melepasi Djibril Sow dan Embolo ke penjuru jauh gawang.
Messi menjadi pencipta gol menerusi sepakan sudut itu, sekali gus meningkatkan jumlah bantuan golnya dalam enam edisi Piala Dunia kepada 10.
Dia turut berkongsi kedudukan teratas carta penjaring terbanyak dengan lapan gol bersama penyerang Perancis, Kylian Mbappe, namun gagal mencatat jaringan dalam perlawanan itu.
Switzerland bergelut untuk menghasilkan serangan balas, namun hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-30 apabila penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez, pantas keluar dari kawasan gol untuk menafikan Embolo.
Argentina gagal mencipta sebarang percubaan tepat tambahan sebelum rehat, manakala Switzerland lebih banyak menguasai hantaran berbanding juara dunia itu.
Perlawanan kurang rancak pada awal babak kedua, namun anak buah Murat Yakin mula meningkatkan rentak dan memperoleh ganjaran sewajarnya pada minit ke-67 apabila Ndoye menyudahkan hantaran bijak Ricardo Rodriguez.

Lima minit kemudian, Switzerland melakukan kesilapan sendiri apabila Embolo yang sudah menerima kad kuning pada babak pertama sengaja menjatuhkan diri dan dilayangkan kad merah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Mac Allister mensia-siakan peluang keemasan apabila tandukannya tersasar ketika gawang terbuka luas, manakala Messi turut melepaskan rembatan lencong yang tersasar tipis. Namun, Switzerland berjaya bertahan sehingga masa tambahan.
Mereka terus mengekang serangan berterusan Argentina pada separuh masa pertama tambahan.
Bagaimanapun, Argentina akhirnya memecahkan benteng pertahanan berani Switzerland menerusi detik magis Alvarez yang diraikan seluruh skuad, sebelum mereka sekali lagi meraikan jaringan Martinez beberapa minit kemudian.

Kini, pemenang Piala Dunia 2022 itu akan mengalihkan tumpuan kepada cabaran menentang England di Atlanta pada 3.00 pagi Khamis ini (waktu Malaysia) selepas pasukan kendalian Thomas Tuchel menewaskan Norway 2-1 lebih awal pada 5.00 pagi tadi (waktu Malaysia).
Sejarah pertemuan England dan Argentina sering dihiasi insiden panas di atas padang, ditambah pula dengan pertikaian kedaulatan berpanjangan membabitkan Kepulauan Falkland yang dikenali sebagai Malvinas dalam bahasa Sepanyol di Lautan Atlantik Selatan.
Britain menghantar pasukan tentera pada 1982 untuk merampas semula kepulauan berkenaan selepas tentera Argentina melakukan pencerobohan.

Empat tahun kemudian, Argentina mencatat kemenangan 2-1 ke atas England di Stadium Azteca menerusi dua jaringan Diego Maradona, termasuk gol kontroversi “Tangan Tuhan” dan satu lagi jaringan solo menakjubkan yang dianggap antara gol terbaik sepanjang zaman.
Kedua-dua pasukan bertemu dua kali lagi dalam Piala Dunia selepas 1986, dengan Argentina menang menerusi penentuan penalti pada 1998, manakala England membalas dendam empat tahun kemudian. – AFP



