Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Bellingham muncul wira, bawa England ke separuh akhir Piala Dunia
  • SUKAN

Bellingham muncul wira, bawa England ke separuh akhir Piala Dunia

Utusan Sarawak 8 hours ago
PEMAIN tengah England, Jude Bellingham, meraikan jaringan ketika aksi suku akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Norway dan England di Stadium Miami, Miami Gardens, Florida, sebentar tadi. Foto AFP

MIAMI, Amerika Syarikat: Jude Bellingham sekali lagi muncul wira England apabila meledak dua gol untuk membantu The Three Lions bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Norway 2-1 menerusi masa tambahan dalam aksi suku akhir Piala Dunia, sebentar tadi.

Pada penampilan sulung mereka di peringkat suku akhir, Norway mengejutkan England apabila Andreas Schjelderup meledak gol pembukaan dalam cuaca panas terik di Miami.

Bagaimanapun, Bellingham yang turut menjaringkan dua gol ketika England menewaskan Mexico 3-2 pada pusingan 16 terakhir, menyamakan kedudukan menerusi penyudah berkualiti sejurus sebelum tamat babak pertama.

Norway kemudian menyaksikan jaringan kedua mereka dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Erling Haaland melakukan kekasaran, ketika kedua-dua pasukan berdepan cabaran fizikal yang memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

PEMAIN tengah England, Jude Bellingham (kiri), diasak pemain Norway, Andreas Schjelderup, ketika aksi suku akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Miami, Miami Gardens, Florida, sebentar tadi. Foto AFP

Bellingham sekali lagi menjadi pemisah apabila memanfaatkan kesilapan penjaga gol Norway, Orjan Nyland, untuk menjaringkan gol keenamnya dalam kejohanan itu sekali gus memastikan kemenangan England.

England akan bertemu Argentina atau Switzerland pada 3.00 pagi Khamis ini (waktu Malaysia) bagi merebut tempat ke final Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun.

Rentetan Haaland yang menjaringkan gol dalam 14 perlawanan kompetitif berturut-turut bersama Norway akhirnya terhenti ketika menentang negara kelahirannya. Penyerang itu turut dikeluarkan pada separuh masa kedua masa tambahan selepas keletihan.

Sebelum kejohanan ini, England tidak pernah memenangi perlawanan kalah mati Piala Dunia selepas terlebih dahulu dibolosi sejak final 1966. Namun, mereka kini melakukannya dua kali dalam tiga aksi terakhir.

PENYERANG England, Harry Kane (kiri), bersaing mendapatkan bola dengan pertahanan Norway, Kristoffer Vassbakk Ajer, ketika aksi suku akhir Piala Dunia 2026 di Stadium Miami, sebentar tadi. Foto AFP

Cuaca panas menguji ketahanan pemain

Jaringan Harry Kane sebelum ini menyelamatkan England daripada tersingkir secara mengejut pada pusingan 32 terakhir ketika menewaskan Republik Demokratik Congo.

Namun, dalam dua perlawanan terakhir, Bellingham menjadi tonggak utama yang memastikan England terus menghidupkan harapan menamatkan kemarau kejuaraan kejohanan utama, meskipun persembahan pasukan itu masih belum benar-benar meyakinkan.

Sepakan mula pada 5.00 pagi tadi (waktu Malaysia) menyaksikan suhu kekal melebihi 30 darjah Celsius dengan kadar kelembapan yang tinggi, sekali gus menguji ketahanan fizikal para pemain.

Keadaan itu jelas menjejaskan rentak permainan pada babak pertama.

Skuad bimbingan Thomas Tuchel terlebih dahulu cemas apabila Jordan Pickford menyelamatkan percubaan rendah Martin Odegaard, sebelum Alexander Sorloth mensia-siakan peluang keemasan apabila memilih melakukan percubaan sendiri berbanding menghantar bola kepada Haaland.

Tidak lama kemudian, Bellingham kembali menyelamatkan England.

PENYERANG Norway, Alexander Sorloth dan Erling Braut Haaland, bersama pemain tengah England, Elliot Anderson, serta penyerang England, Harry Kane, bersaing merebut bola di udara ketika aksi suku akhir Piala Dunia 2026 di Stadium Miami, Miami sebentar tadi. Foto AFP

Selepas dikawal rapi sepanjang permainan, beliau menerima hantaran Anthony Gordon sebelum melakukan larian pantas ke dalam kotak penalti dan tenang menyudahkannya menggunakan kaki kiri.

Gol itu mengubah momentum permainan memihak England yang hampir mendahului sebelum rehat.

Kali ini Bellingham bertindak selaku pencipta peluang apabila menyediakan hantaran kepada Kane yang berjaya menewaskan Nyland, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.

Tuchel kemudian memasukkan Bukayo Saka dan Eberechi Eze pada permulaan babak kedua menggantikan Noni Madueke yang kurang menyerlah serta Declan Rice yang dilaporkan kurang sihat sejak awal minggu.

Bagaimanapun, pertukaran itu menyebabkan bahagian tengah England menjadi longgar dan mereka beberapa kali diasak Norway.

Norway hampir kembali di depan apabila Torbjorn Heggem menjaringkan gol hasil kelemahan pertahanan England, namun VAR membatalkan jaringan itu selepas Haaland didapati menolak pemain Manchester City, Elliott Anderson, sebelum sepakan penjuru diambil.

Norway sekali lagi hampir menemui gol kemenangan apabila tandukan Kristoffer Ajer terkena palang selepas England gagal mengeluarkan bola daripada situasi sepakan penjuru.

Kedua-dua pasukan jelas keletihan akibat cuaca panas, namun tetap dipaksa mengharungi tambahan 30 minit permainan.

PENYERANG England, Harry Kane, melepasi penjaga gol Norway, Orjan Nyland, untuk menjaringkan gol, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid ketika aksi suku akhir Piala Dunia 2026 di Stadium Miami, Miami, sebentar tadi. Foto AFP

Nyland sebelum ini menjadi watak penting ketika Norway menewaskan Brazil pada pusingan 16 terakhir menerusi beberapa aksi menyelamat, sebelum Haaland meledak dua gol pada penghujung permainan.

Namun kali ini, penjaga gol Sevilla itu menjadi punca kekalahan apabila gagal menangkap kemas rembatan jarak jauh pemain gantian Morgan Rogers, sekali gus memberi ruang kepada Bellingham menyambar bola untuk gol kemenangan.

England kemudian dihadiahkan sepakan penalti beberapa minit selepas itu, namun VAR membatalkan keputusan berkenaan selepas mendapati Djed Spence terlebih dahulu memulakan sentuhan di dalam kotak penalti.

Semangat Norway bagaimanapun sudah pun luntur, yang jelas tergambar apabila Haaland hanya mampu menyaksikan baki permainan dari bangku simpanan tanpa lagi berupaya membantu pasukannya.- AFP

Continue Reading

Previous: 980 peserta semarakkan Larian Berita Terkini 2.0 Edisi Malam
Next: Tuchel akui England bernasib baik, perlu perbaiki prestasi selepas tewaskan Norway

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.